Sebelum ini, viral di media sosial beberapa rakaman video memaparkan sekumpulan Youtuber didakwa bergaduh di sebuah gelanggang futsal sehingga mengakibatkan kecederaan pada individu lain. Pergaduhan tersebut dipercayai berpunca disebabkan terdapat perselisihan faham antara dua kumpulan pemain ketika perlawanan persahabatan itu.
Artikel berkaitan: Tak Puas Hati Main Futsal, Youtuber Bawa Geng Belasah Orang?
Terbaru, memetik laporan Sinar Harian, pihak polis ketika ini sedang mengesan beberapa individu yang terlibat dalam insiden tersebut susulan terima laporan dari mangsa. Mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian kening sehingga berdarah.
Perselisihan faham
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman memaklumkan insiden yang berlaku di gelanggang futsal di Taman Perindustrian, Subang itu berlaku sekitar jam 10.30 malam disyaki berlaku akibat daripada perselisihan faham antara dua kumpulan pemain futsal.
Katanya, berdasarkan siasatan awal dijalankan mendapati pergaduhan tersebut dipercayai berlaku apabila seorang remaja berusia 19 tahun melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sewaktu perlawanan berlangsung.
Cubaan meleraikan pergaduhan
Seorang lelaki berusia 29 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan itu telah dipukul oleh kira-kira 10 orang, mengakibatkan dia cedera di kening, muka dan calar di bahagian badan.
Tambah Ketua Polis Daerah Subang Jaya lagi, siasatan juga mendapati tiada sebarang senjata digunakan dalam pergaduhan tersebut. Pihak polis juga akan mengenakan tindakan kompaun terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.
Sumber: Sinar Harian