Kekal jelita dan menawan meskipun usia mencecah 56 tahun, pelakon Datin Seri Maria Farida mengakui tidak pernah menjalani sebarang rawatan untuk mengubah bentuk wajah asalnya, sebaliknya memilih untuk menua secara semula jadi.

Artikel Berkaitan: Maria Farida Masih Dikejar ‘Pucuk Muda’ – ‘Mereka Ajak Saya Dating & Kahwin’

Tak cucuk

Maria atau nama lengkapnya Maria Farida Atienza berkata, dia bukanlah seorang yang gemar menggunakan produk penjagaan kulit, sebaliknya hanya mendapatkan rawatan wajah asas.

Saya sebenarnya tidak begitu suka memakai produk penjagaan kulit. Apa yang saya buat hanyalah pergi mendapatkan rawatan wajah kerana saya ditaja.

Namun, rawatan yang saya buat hanyalah rawatan biasa sahaja. Bukan jenis yang melibatkan cucuk sana sini. Bagi saya, menua secara semula jadi itu lebih cantik berbanding cucuk muka hingga kelihatan bengkak dan pelik.

Lebih baik kita hargai apa yang Allah telah berikan dan manfaatkan sebaik mungkin. Di media sosial, ramai yang sering menuduh saya cucuk muka, buat pembedahan dan macam-macam lagi.

Sedangkan bagi saya, orang yang melakukan suntikan sebenarnya kelihatan kurang menarik. Bila saya ketawa, semua boleh nampak kedutan di mata dan sebagainya.

Maria berkata demikian ketika ditemui di malam gala tayangan filem Pemuja yang berlangsung di TGV The Starling Mall, pada Selasa.

Bercerita lanjut, Maria turut mengakui faktor genetik memainkan peranan besar dalam penampilannya yang kelihatan sentiasa awet muda.

Semua ini juga faktor genetik. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ahli keluarga saya semuanya kelihatan awet muda. Ibu saya, arwah nenek dan di sebelah keluarga ayah termasuk dari Filipina, semuanya nampak muda.

‘Saya tak seksi’

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menganggap dirinya masih seksi, Maria menjelaskan cara berpakaian yang dipilih adalah untuk kepuasan diri sendiri, bukan untuk menarik perhatian orang lain.

Tentang orang yang berkata saya masih seksi, saya berpakaian untuk diri sendiri, bukan untuk orang lain. Suami saya juga okay. Selagi suami saya okay, saya okay. Saya tidak berpakaian untuk memuaskan hati sesiapa.

Apabila orang kata saya seksi, saya tidak rasa saya seksi. Saya rasa diri saya biasa sahaja. Jadi saya tidak faham, tetapi mungkin setiap orang ada pendapat masing-masing. Jika mereka mahu menghentam saya, tidak mengapa.

Maria berkata, dia sudah lali dengan kecaman dan komen negatif yang diterima sejak sekian lama, justeru memilih untuk tidak membalas atau melayan kritikan tersebut.

Saya tidak membalas komen, tidak blog, cuma membaca sahaja. Itu pun sekadar membaca kerana perkara seperti ini sudah saya lalui berpuluh-puluh tahun. Jadi lama-kelamaan, saya anggap biasa sahaja.

Selain Maria, filem Pemuji terbitan Metrowealth yang bakal ditayangkan pada 22 Januari ini turut dibintangi Qi Razali, Yasmin Hani, Namron dan ramai lagi.