Pendedahan keluarga Pak Aq yang mendapat bantuan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta masjid di kawasan itu namun masih berkeras mahu tinggal dalam timbunan sampah menjadi isu hangat laman sosial. Keluarga berkenaan dikatakan kembali ke rumah lama walaupun pendakwah, Ustaz Ebit Lew sudah mendapatkan rumah lebih selesa untuk mereka.
Dapat kebenaran robohkan rumah
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Faisal Mustaffa, pihaknya sudah dimaklumkan pemilik tanah didiami keluarga berkenaan sudah mendapatkan surat perintah merobohkan rumah daif itu pada Rabu, 22 April.
Alhamdulillah Ustaz. Tuan tanah dah bawa surat lawyer untuk roboh rumah lama ni. Insya Allah esok pagi jam 9.00, beritahu AJK Masjid Al Irfan, Derga. Ahli keluarga petang ni (semalam) selesai semua pindah selepas berunding.
Walaupun diperingkat awal masih ada ahli keluarga yang enggan. Dengan bantuan penduduk kampung, agensi serta polis cawangan khas yang turut hadir memberi penyelesaian kepada rundingan untuk berpindah.
Didoakan urusan di rumah baru dipermudahkan
Faisal turut mendoakan supaya keluarga besar itu dipermudahkan urusan mereka setelah bertahun-tahun tinggal dalam serba kedaifan, selain berterima kasih kepada Ustaz Ebit Lew dan pasukan.
Alhamdulillah, semoga Pak Aq sekeluarga dipermudahkan urusan oleh Allah SWT dirumah baharu. Terima kasih kepada Ustaz Ebit Liew dan juga tim.
Terima kasih kepada seluruh JK Masjid Al Irfan, Derga dan juga seluruh penduduk kampung. Semoga Allah merahmati kita semua.
Sumber: Faisal Mustaffa