Kunjungan penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew ke Alor Setar menghulurkan bantuan kepada keluarga serba kekurangan mengundang rasa sebak orang ramai. Paling menyedihkan, keluarga yang terdiri daripada berbelas anak dan cucu ini hidup di rumah usang dengan datuk yang diserang strok.
Ustaz Ebit Lew berjaya mendapatkan rumah sewa baru yang selesa dengan harga RM800. Difahamkan, ustaz akan membantu membayar sewa rumah tersebut selagi mampu.
Jangan salahkan sesiapa – Ustaz Ebit Lew
Hanya airmata. Tiada apa yang saya dapat ungkapan. Hati ini sedih sayu. Hanya berdoa moga Allah ampunkan dosa saya. Jangan salahkan sesiapa. Saya cuma datang untuk membantu. Saya yang salah. Ceramah sana sini baru hari ini saya tahu keadaan mereka. Sedang saya makan kenyang, tidur lena, mereka tidur di tepi sampah. Ya Allah.. Maafkan saya pakcik. Maafkan saya adik-adik semua.
Syukur akhirnya Allah izinkan saya dapatkan rumah sewa untuk mereka. Besar rumah selesa. InsyaAllah saya akan bayar sampai bila-bila selagi mampu. Terima kasih semua yang bersama-sama membantu dan tuan puan semua yang selalu mendoakan. Moga Allah balasi kebaikan semua.
Menerusi video yang dimuatnaik, datuk yang terbaring menceritakan keadaan mereka yang serba daif. Di rumah usang itulah, mereka sekeluarga tinggal bersama berbelas ahli yang lain. Ustaz Ebit Lew yang sangat tersentuh melihat keadaan mereka meminta tiada sesiapa yang dipersalahkan dalam hal ini.
Penjelasan dari Masjid Al-Irfan Derga
Assalamualaikum
Mengenai post oleh Ustaz Ebit Lew berkenaan lawatan beliau ke sebuah keluarga fakir miskin dalam kariah Masjid Al-Irfan Derga sehingga menimbulkan persoalan dan fitnah bahawa pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat – JKM. termasuk Masjid Al-Irfan Derga mengabaikan keluarga ini.
Disini Masjid Al-Irfan Derga ingin memberi beberapa penjelasan.
1. Keluarga ini menerima bantuan bulanan berupa wang ringgit oleh pihak LZNK, JKM termasuk dari Masjid Al-Irfan Derga sendiri, jadi kenyataan bahawa mereka diabaikan oleh pihak-pihak berkenaan adalah tidak benar.
2. Keluarga ini juga turut ditawarkan rumah Asnaf yang lebih selesa oleh pihak LZNK namun ditolak oleh keluarga ini atas alasan yang tidak diketahui.
Diharap tidak sewenangnya menuduh
3. Keluarga ini sudah mendiami kawasan tersebut sejak sekian lama, walau bagaimanapun tanah yang didiami itu bukan milik mereka. Jadi ini sekaligus menyukarkan pihak LZNK dan yang berkenaan untuk membina rumah bagi keluarga ini di atas tanah tersebut.
4. Bahkan semasa PKP ini, keluarga ini turut menerima bantuan bekalan makanan dari pihak Masjid Al-Irfan Derga yang disampaikan melalui Bendahari Masjid, Tuan Haji Osman yang mewakili Tuan Imam, Ustaz Abdul Hadi.
5. Diharap agar masyarakat terutamanya tidak sewenang-wenang menuduh atau memberi tohmahan bahawa keluarga ini diabaikan oleh pihak yang berwajib.
6. Usaha Ustaz Ebit dalam membantu mereka yang memerlukan merupakan satu usaha yang mulia dan terpuji, walau bagaimanapun semoga Ustaz dapat berhubung dengan pihak yang berwajib untuk mendapatkan info mengenai mereka-mereka yang memerlukan ini.
Mohon disebarkan untuk pengetahuan umum
-Admin – Masjid Al-Irfan Derga-
Sumber : Hafiz Azmi