Bagi mereka yang membesar sekitar penghujung 1990-an dan awal 2000-an, filem Senario bukan sekadar hiburan hujung minggu. Dialog spontan, gaya lakonan bersahaja dan watak yang dekat dengan masyarakat menjadikan banyak babak mereka masih diingati sehingga hari ini.

Bermula dengan Senario The Movie pada 1999, kumpulan Senario kemudian melahirkan beberapa filem popular seperti Senario Lagi, Lagi-Lagi Senario dan Senario Lang Buana. Filem pertama mereka sahaja dilaporkan meraih kutipan sekitar RM4.58 juta, satu pencapaian besar untuk filem tempatan pada era tersebut

Artikel Berkaitan: ‘Fenomena Senario’ Sukar Berulang? Ramai Dakwa Komedi Tempatan Kini Semakin Suram

Artikel Berkaitan: Azlee Senario Luah Rasa Syukur, Dua Kereta Habis Bayar 

Ini empat babak nostalgia buat peminat filem Senario

1.Perang Dua Warung Dalam Lagi-Lagi Senario

Siapa masih ingat persaingan antara warung Azlee dan warung Mazlan?

Dalam Lagi-Lagi Senario, Azlee mengusahakan sebuah warung bersama Wahid, Yassin dan Saiful. Perniagaan mereka mula mendapat sambutan apabila Saiful menunjukkan kemahirannya menyediakan roti canai.

Namun keadaan menjadi kecoh selepas Mazlan membuka sebuah warung bersebelahan dan mula mencabar perniagaan Azlee. Persaingan yang pada awalnya kelihatan biasa berubah menjadi perang pelanggan, pekerja dan strategi perniagaan. Kedua-dua pihak sanggup melakukan pelbagai perkara untuk memastikan warung masing-masing lebih popular.

2. Dialog Azlee ‘Saya Nak Masuk Bilik Saya’

Dialog ringkas, “Saya nak masuk bilik saya!” menjadi antara momen yang cukup melekat dalam ingatan peminat Senario Lagi. Dalam keadaan kelam-kabut, Azlee berkeras mahu masuk ke biliknya sendiri, tetapi akhirnya tersalah masuk ke bilik Linda.

Cara Azlee menyampaikan dialog tersebut dengan wajah yakin, sebelum melakukan perkara yang bertentangan, menjadikan babak itu semakin lucu.

Walaupun hanya menggunakan ayat yang mudah, intonasi dan gaya bersahaja Azlee berjaya menjadikannya antara dialog filem Senario yang masih disebut-sebut sehingga hari ini.

3. Wahid Mempersembahkan Roti Canai Terbang Rock & Roll

Antara babak paling diingati dalam Lagi-Lagi Senario ialah ketika Wahid sibuk menebar roti canai, sedangkan pesanan pelanggan masih belum siap. Semakin ramai yang menunggu, semakin kelam-kabut keadaan di warung tersebut.

Gelagat Wahid ketika mengendalikan doh, ditambah dengan wajah pelanggan yang semakin tidak sabar, menjadikan adegan itu sangat mencuit hati. Situasi biasa di kedai makan berjaya diubah menjadi komedi yang penuh kekecohan menerusi pergerakan tubuh, reaksi muka dan timing lawak yang tepat.

@senangriuh

Dulu admin pernah kena piat telinga dgn mak sbb tebar tshirt dalam bilik mandi. DIA LA PUNCAAA 🤣🤣🤣. #senario #roticanai #roticanaiterbang #wahidsenario

♬ original sound – SenarioFan – 𝙎𝙚𝙣𝙖𝙧𝙞𝙤𝙁𝙖𝙣

4. Trademark Lan Pet Pet buat bunyi trumpet

Mazlan atau Lan Pet Pet menggunakan bunyi trompet yang dihasilkan dengan mulut, salah satu trademark komedinya sejak bersama Senario. Kemahiran tersebut masih sinonim dengannya dan sering diminta oleh peminat ketika kemunculan awam.