
Penyanyi dan maestro muzik, Datuk M. Nasir berkongsi pendapat ekoran isu hak cipta lagu melibatkan komposer Man Senoi, Mama Rap dan kumpulan 4U2C.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Berani Tegur ‘Pitching’ M. Nasir, Netizen Puji Sikap Rendah Diri – ‘Legend Pun Tak Melenting Bila Kena Tegur’
Artikel Berkaitan: ‘Jadikan Budaya, Saya Harap Setiap Hari Raya Ada Konsert Besar’ – M. Nasir
Hak komposer

Menjawab isu hak cipta, M. Nasir berpendapat bahawa setiap komposer memiliki kuasa bagi setiap karya yang dicipta mereka.
Bagaimanapun, Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) yang mengendalikan bayaran royalti dan lesen bagi setiap penyanyi yang menggunakan lagu tersebut.
Biasanya penyanyi tidak perlu berunding secara langsung kerana penggunaan lagu diuruskan melalui MACP dan bayaran akan dikenakan.
Namun, jika pencipta tidak bersetuju, mereka berhak untuk tidak membenarkan lagu itu digunakan.
M. Nasir berkata demikian ketika ditemui OhBulan! pada Majlis Sidang Media Konsert Cipta 3 yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Isnin.
Perundingan jalan terbaik

Berkongsi lebih lanjut, pelantun lagu ‘Mentera Semerah Padi’ itu mencadangkan agar isu hak cipta lagu ini diselesaikan dengan perbincangan.
Bagi saya perkara ini perlu dibawa berbincang.
Memang masing-masing ada hak sendiri, terutama sekali pencipta lagu.
Jadi, biar lah perkara ini selesai dahulu secara perundingan.
Terdahulu, timbulnya kemelut di sebalik penganjuran konsert 4U2C apabila komposer Man Senoi dan Mama Rap dilapor berkata, hak cipta sepenuhnya terhadap lagu-lagu 4U2C adalah milik mereka, namun tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert itu.
Memetik laporan Harian Metro, Man Senoi dan Mama Rap turut berkongsi mengenai permulaan 4U2C yang dikumpulkan oleh mereka berdua dan proses perjuangan untuk memastikan kumpulan itu dapat mencipta nama dalam industri seni tanah air.
Man Senoi turut dilapor mempersoalkan bagaimana kumpulan berkenaan hendak mengadakan konsert jika 25 lagu dinyanyikan adalah hak milik syarikat mereka, Zman Production.
Konsert WE 4U2C Live In Concert anjuran Juss Event akan menghimpunkan tujuh anggota 4U2C iaitu Datuk AC Mizal, Aren, Yanz, Rinz, Lanz, Charlie dan Azam.








