Penyanyi, Mawi menyambut baik hasrat pendatang baharu, Ehmad Hadie Elfardie yang sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk berduet dengannya suatu hari nanti.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ina Naim Sudah Tegur Jaga Batas, Doa Hadie Dijauhi Maksiat – ‘Takkan Saya Nak Kurung Dia Dalam Bilik?’

‘Jika sesuai’

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, berkata dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk bekerjasama dengan Hadie selagi karya yang ditawarkan sesuai dengan vokal mereka berdua.

Tiada masalah pun, jika sesuai boleh sahaja. Tengok kepada barang iaitu lagu itu sendiri. Jika sesuai untuk kami berduet tidak jadi masalah.

Mawi berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu keempat Gegar Vaganza 12 (GV12) yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pada Ahad.

Dalam pada itu, ditanya adakah sedar mengenai kewujudan anak kepada penyanyi Ina Naim itu sebagai pendatang baharu dalam industri, Mawi mengakui sudah mengetahui tentang perkembangan tersebut.

Saya tahu kewujudan dia. Anak-anak saya yang tonton program Talk To My Manager cerita dengan saya peserta yang ada dalam itu, antaranya Hadie.

Sementara itu, pelantun Aduh Saleha ini turut menitipkan pesanan dan panduan buat bakat-bakat baharu yang mula mencipta nama dalam dunia seni.

Bakat dalam industri hiburan datang dan pergi. Bagus juga ada program yang melahirkan bakat-bakat baharu sebagai pelapis industri.

Nasihat saya untuk pendatang baharu kena ingat tujuan asal masuk industri. Sama ada mencari glamour semata-mata atau sebaliknya.

Macam penyanyi, tanggungjawab juga untuk mereka kerana lagu yang disampaikan ibarat satu risalah. Penyanyi adalah penyampai supaya mesej lagu sampai ke hati pendengar.

Selain itu, popular juga perlu ada. Kalau tiada populariti siapa yang nak dengar lagu kita. Bakat dan populariti kena seiring tetapi perlu juga bergantung kepada rezeki.