Media Prima Berhad, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia menerima anugerah ‘Media Digital Terbaik’ pada Hari Pemaju Huawei (Huawei Developer Day) di Kuala Lumpur, 15 November 2022 lalu.
Media Digital Terbaik
Hari Pemaju Huawei yang bertemakan ‘Better Together’ bertujuan untuk mempamerkan evolusi ekosistem Perkhidmatan Mudah Alih Huawei. Bukan itu sahaja, majlis ini juga bertujuan untuk memberi penghormatan kepada ahli rakan kongsi yang telah membantu pertumbuhan Huawei dengan 16 anugerah yang disampaikan, merentasi pelbagai kategori.
Media Prima menerima anugerah ini dengan mengatasi beberapa syarikat media di Asia Tenggara. Anugerah ini telah diterima oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Raziq Razali di acara tersebut.
Pengarah Pertumbuhan Perniagaan Ekosistem Peranti Huawei, wilayah Asia-Pasifik, Rei Xiao berkata Media Prima sudah berkolaborasi bersama Huawei sejak 2019 dan berharap untuk mencapai kejayaan bersama.
Media Prima mempunyai kolaborasi bersama Huawei yang luas sejak 2019, termasuk ‘Petal Search’, ‘HUAWEI Ads’ dan ‘News Feed’, dan mereka telah melancarkan lebih dari 10 aplikasi di ‘AppGallery’.
Kami amat menghargai sokongan mereka, dan kami berharap untuk berkolaborasi di masa akan datang untuk mencapai kejayaan bersama-sama.
Anugerah kedua buat Media Prima
Sementara itu, Rafiq Razali meluahkan rasa teruja dalam penerimaan anugerah ‘Media Digital Terbaik’ daripada sebuah syarikat teknologi global.
Kami amat menghargai hubungan bersama Huawei, di mana kami telah memulakan beberapa inisiatif kolaborasi yang menarik selama bertahun-tahun.
Kami amat berpuas hati untuk menjadikan Huawei sebagai rakan kongsi kami kerana Huawei merupakan salah satu syarikat teknologi yang tersohor di dunia dan Media Prima sebagai kumpulan media terbesar di Malaysia.
Kami menantikan lebih banyak kolaborasi bersama Huawei dalam lebih banyak bidang di masa akan datang.
Sementara itu, anugerah ini merupakan anugerah kedua buat Media Prima dalam kategori digital pada tahun ini. REV Media Group yang merupakan subsidiari digital Media Prima telah dianugerahkan sebagai Penerbit Digital terbaik untuk tahun ketiga berturut-turut.