berita

Menteri Hal Ehwal Agama Rujuk Video Raya Aliff Syukri Kepada JAKIM, Nasihat Padam Semua

April 25th, 2022 | by khairil
Isu & Kontroversi

Foto: Idris Ahmad

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Ustaz Datuk Haji Idris Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan telah merujuk video raya seorang usahawan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jaga sensitiviti & batasan terhadap hiburan

Jelas Idris, apa yang dipaparkan di dalam video raya Datuk Seri Aliff Syukri tersebut jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam, malah kurang sesuai untuk dipertontonkan ketika umat Islam sedang menuju meraih kemenangan di bulan Syawal setelah menempuh pelbagai ujian di dalam bulan Ramadan.

Saya cuba untuk mengambil peluang terhadap isu ini dengan mengajak semua rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam khususnya untuk kita menjaga sensitiviti kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang kita mahu tonjolkan kepada masyarakat. Apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan Allah terhadap bala COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, saya seru untuk semua rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama yang makin baik dikalangan rakyat Malaysia.

Tambahnya lagi, sebagai seorang yang berpengaruh, usahawan tersebut seharusnya mengambil peluang dan rezeki yang Allah berikan kepada dirinya untuk mengajak umat Islam untuk lebih takutkan Allah dan menghindari tingkah laku yang menjarakkan diri dengan ketaqwaan dan redha Allah SWT.

Rujuk kepada JAKIM untuk tindakan pihak berkuasa

Selain telah merujuk video raya tersebut kepada JAKIM, Idris juga meminta video tersebut dipadam daripada disiarkan di mana-mana platform media.

Nasihat saya, dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh di keluarkan daripada disiarkan dimana-mana platform media, atau ianya boleh di ‘private’kan hanya untuk tatapan peribadi empunya video.

Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama Islam, dan mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini. InsyaAllah.

Sumber: Idris Ahmad

SKIP THIS AD ×