Siapa sangka, hanya berbekal ‘muka simpati’, seorang lelaki mampu menyara hidup dengan hasil mengemis. Lebih mencuri tumpuan, lelaki tersebut juga mampu membeli sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70.
Artikel Berkaitan: Pengemis OKU Panas Baran Minta Duit Tak Dapat, Siap Maki & Ugut Nak Pukul
Kegiatan terbongkar
Menerusi laporan Harian Metro, kegiatan lelaki tersebut akhirnya terbongkar selepas operasi membanteras aktiviti pengemis yang dijalankan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran di pasar malam Sri Jaya, Maran, Pahang, semalam.
Menurut JKM, pihaknya mengesan lelaki tempatan berpakaian jubah dan kopiah di pasar malam itu menjalankan aktiviti mengemis.
Dari jauh kelihatan seorang lelaki berdiri di celah payung peniaga pasar malam sambil memegang beg kertas, meminta simpati orang ramai yang lalu lalang.
Kedua-dua tangan lelaki terbabit kelihatan kecil tidak seperti tangan manusia normal. Pegawai penguat kuasa JKM Maran menghampiri lelaki itu dan bertanyakan tujuannya meminta sedekah, namun pertanyaan tidak dijawab.
Bukan itu sahaja, lelaki itu juga kelihatan seperti individu pekak dan bisu dengan pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat kepingan wang kertas di dalam begnya, dipercayai hasil sedekah pengunjung pasar malam itu.
Berkali-kali pihak JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi tetapi tidak mendapat respons daripada lelaki itu.
Selepas didesak akhirnya lelaki itu bersuara dan memaklumkan dia bukanlah pekak atau bisu, sebaliknya orang kurang upaya (OKU) fizikal iaitu kedua tangan tidak normal, manakala kad pengenalannya diletakkan dalam kenderaan.
Penguat kuasa JKM mengekori lelaki itu ke keretanya dan mendapati individu yang hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan diri, memandu sebuah Proton X70 Premium.
Siasatan lanjut mendapati lelaki itu tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk mengemis. Semakan turut mendapati lelaki itu menerima Elaun Pekerja OKU daripada JKM sebanyak RM450 sebulan sejak 2001.
Ketika disoal lanjut penguat kuasa, lelaki itu mengaku bahawa kenderaan terbabit adalah miliknya dan mampu mengutip RM500 hasil mengemis bagi tempoh empat hingga enam jam di pasar malam.
Lelaki terbabit kemudian dilepaskan dengan amaran oleh penguat kuasa JKM.
Sumber: Harian Metro