
Impian peminat muzik alternatif akhirnya menjadi kenyataan apabila dua kumpulan legenda antarabangsa, My Chemical Romance (MCR) dan Evanescence, bakal menggegarkan Kuala Lumpur pada November ini.
Artikel Berkaitan: Konsert Hari Pertama My Chemical Romance ‘Sold Out’ Dalam 90 Minit, Penganjur Umum Hari Kedua
Konsert November ini

Dibawakan oleh Hello Universe, siri konsert berskala besar itu akan berlangsung sepanjang bulan November dengan menampilkan persembahan eksklusif daripada kedua-dua kumpulan yang pernah mewarnai era kegemilangan muzik rock alternatif, emo dan gothic pada awal tahun 2000-an.
My Chemical Romance dijadual mengadakan persembahan selama dua malam berturut-turut pada 19 dan 20 November, manakala Evanescence pula bakal mengambil alih pentas pada 28 November.
Kehadiran dua nama besar ini disifatkan sebagai momen istimewa buat peminat tempatan yang membesar dengan lagu-lagu ikonik seperti Welcome to the Black Parade, Helena dan Bring Me to Life.
Konsert tersebut bukan sekadar persembahan muzik, malah peluang mengimbau kembali kenangan zaman remaja yang penuh emosi dan nostalgia.
Keterujaan peminat turut membanjiri media sosial sebaik sahaja pengumuman dibuat dan ramai meluahkan rasa teruja serta tidak sabar untuk menhadiri konsert berkenaan.
Dalam perkembangan sama, pihak penganjur turut mengumumkan pembukaan semula jualan tiket dalam kuantiti terhad menerusi platform rasmi mereka.
Peminat yang masih belum mendapatkan tiket boleh membuat pembelian melalui laman web rasmi www.golive-asia.com dan merebut peluang menyaksikan dua kumpulan ikonik dunia itu beraksi secara langsung di Kuala Lumpur.








