Penyanyi, Nabila Razali mengakui berkaraoke menjadi antara aktiviti kegemarannya untuk mengisi masa lapang.

Artikel Berkaitan: Nabila Razali Ulas Isu Juara Pertandingan Tak Semestinya Popular – ‘Aura Bukan Sesuatu Boleh Dibeli’

Kaki karaoke

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, berkata, meskipun kini sudah bergelar penyanyi, dia masih gemar menghabiskan masa di pusat karaoke sekiranya mempunyai kelapangan.

Saya memang kaki karaoke, daripada dulu sampai sekarang. Cuma sekarang dah jadi penyanyi, karaoke kurang. Tetapi jika ada kelapangan masa, salah satu aktiviti saya adalah berkaraoke.

Sebelum kahwin, saya akan pergi dengan keluarga, sebulan mesti dua kali pergi karaoke. Sekarang bila dah kahwin akan pergi dengan kawan-kawan.

Zaman sebelum kahwin, kalau ada waktu lapan akan pergi karaoke, zaman sekarang banyak pilihan nak beraktiviti macam pickleball dan sebagainya.

Menurut pelantun lagu Vroom Vroom itu, karaoke menjadi ruang untuknya melepaskan tekanan dan melakukan sesuatu yang mungkin tidak dapat dilakukan ketika berada di pentas sebenar.

Saya pergi karaoke sebab tempat ‘release stress’, lepas geram. Ada lagu yang tidak boleh menyanyi di atas pentas, maka karaoke jadi pentas saya. Karaoke tempat nak menjerit, mahu rasa macam AJL, tempat berangan.

Lagu yang saya nyanyi di karaoke lagu kawan-kawan juga contoh Nadeera, Ernie dan ramai lagi. Kalau lagu lama-lama saya boleh nyanyi lagu Ziana Zain, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Kebanyakan lagu yang saya nyanyi lagu selain daripada genre saya bawa atas pentas. Karaoke lah tempat saya rasa sedap juga suara. Paling penting tiada yang ‘judge’.

Tarikan pelancong

Nabila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Red Box Melaka yang berlangsung baru-baru ini dan majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Samuel Lee Thai Hung.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Red Box, Terry Swee berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

Kami telah bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia, tujuannya adalah selain pelancong yang datang ke Melaka untuk melihat tempat bersejarah, mereka juga boleh berhibur.

Jika pelancong menunjukkan ‘boarding pass’ kapal terbang mereka di kaunter, mereka akan dapat tawaran menarik seperti snek percuma.

Red Box Melaka juga mempunyai keistimewaan tersendiri kerana merupakan cawangan pertama yang beroperasi dalam bangunan milik sendiri.