Selepas bertahun-tahun filem Hollywood dianggap pilihan utama penonton pawagam, 2026 membawa satu angka yang sukar diabaikan.

Menurut FINAS, filem tempatan mencatat 7.55 juta kemasukan penonton dari Januari hingga Julai 2026, mengatasi 6.94 juta bagi filem Hollywood dalam tempoh sama, perbezaan kira-kira 610,000 penonton atau 8.8 peratus.

Lebih menarik, lima filem tempatan sudah melepasi kutipan RM10 juta iaitu Tarung: Unforgiven (RM23.59 juta), Polong (RM14.98 juta), Libang Libu (RM14.16 juta), Malaikat Malam (RM12.23 juta) dan Ah Beng vs Liang Po Po (RM10.04 juta).

Nampaknya penonton Malaysia memang sedang memilih cerita Malaysia. Tetapi persoalan lebih besar ialah bolehkah momentum ini kekal? Sebab mengalahkan Hollywood selama tujuh bulan merupakan pencapaian besar. Menjadikannya normal baharu industri pula jauh lebih sukar.

Ini tujuh cabaran yang perlu dilepasi.

Artikel Berkaitan: Finas Sambut Baik Keterbukaan Lebih Luas Dalam Pembikinan Filem Tempatan

Artikel Berkaitan: Dulu Dipandang Sebelah Mata, Kini Filem Malaysia Mampu Kalahkan Hollywood

1. Lima Filem Meletup Tak Bermaksud Semua Filem Tempatan Menang

Angka keseluruhan memang cantik, tetapi apabila diperincikan, prestasi filem tempatan masih tidak sekata.

Data Skim Wajib Tayang FINAS menunjukkan Tarung: Unforgiven, Polong, Libang Libu, Malaikat Malam dan Ah Beng vs Liang Po Po berada jauh di hadapan dengan kutipan melebihi RM10 juta.

Pada masa sama, terdapat juga judul 2026 seperti Pirate Queen yang mencatat sekitar RM31,000, Mak #SalamDariSyurga sekitar RM151,000 dan Pemuja sekitar RM112,000 melalui data Wajib Tayang.

Ini menunjukkan satu realiti penting. Industri belum boleh bergantung kepada beberapa blockbuster untuk membawa keseluruhan pasaran.

Kejayaan sebenar ialah apabila filem berskala sederhana juga mampu mendapatkan penonton yang cukup untuk terus membuatkan penerbit berani menghasilkan karya seterusnya.

2. Penonton Dah Serbu, Namun Kualiti Perlu Konsisten

Mendapatkan semula kepercayaan penonton mungkin sukar. Tetapi mempertahankannya lebih sukar.

FINAS sendiri mengaitkan peningkatan 2026 dengan kemampuan filem tempatan menghasilkan kandungan yang dekat dengan cita rasa, budaya dan pengalaman masyarakat Malaysia.

Itulah kelebihan yang Hollywood sukar tiru. Namun kelebihan ‘cerita kita’ sahaja tidak mencukupi jika skrip, lakonan, suntingan atau produksi tidak memenuhi jangkaan.

Apabila penonton sudah mula sanggup membayar tiket untuk karya tempatan, standard mereka juga akan meningkat.

Hari ini penonton mungkin berkata, ‘filem Malaysia dah best.’ Cabaran seterusnya ialah memastikan mereka tidak kembali berkata, ‘nasib baik tengok filem yang itu saja.’

3. Jangan Sampai Kejayaan Satu Genre Jadi Formula Sampai Penonton Penat

Apabila sesuatu formula berjaya, industri secara semula jadi mahu mengulanginya. Tetapi terlalu banyak mengulang apa yang sedang laku juga boleh menjadi perangkap.

Kejayaan 2026 sebenarnya menarik kerana senarai filem yang melepasi RM10 juta bukan datang daripada satu judul sahaja. Tarung: Unforgiven, Polong, Libang Libu, Malaikat Malam dan filem Mandarin Ah Beng vs Liang Po Po menunjukkan ada ruang untuk karya dengan identiti dan sasaran penonton berbeza.

Industri perlu terus berani mencuba. Aksi boleh berjaya. Seram boleh berjaya. Komedi boleh berjaya. Cerita komuniti tertentu juga boleh berjaya.

Bahaya bermula apabila setiap kejayaan melahirkan terlalu banyak filem yang cuba menjadi ‘versi baharu’ kepada hit sebelumnya. Penonton mungkin sukakan formula, tetapi mereka juga cepat mengenal formula.

4. Filem Tempatan Tetap Kena Berebut Tarikh Dengan Hollywood

Mengatasi Hollywood tidak bermaksud Hollywood sudah hilang. Kalender pawagam masih padat dengan produksi antarabangsa berprofil tinggi.

Sebagai contoh, jadual Wajib Tayang FINAS menunjukkan filem tempatan masih perlu berkongsi ruang pasaran dengan judul antarabangsa besar seperti Spider-Man: Brand New Day, Resident Evil dan produksi studio Hollywood lain.

Malah pada 27 Ogos 2026, Chelot dijadualkan memasuki pawagam sebelum beberapa lagi filem tempatan seperti Tikus dan Terbang menyusul pada September. Ini bermaksud momentum sekarang akan terus diuji.

Sebuah filem bukan sahaja perlu bagus. Ia juga perlu mendapat tarikh yang sesuai, jumlah tayangan yang kompetitif dan word-of-mouth cukup kuat untuk bertahan selepas minggu pertama.

5. Marketing Tak Boleh Lagi Bermula Seminggu Sebelum Filem Keluar

Penonton hari ini mempunyai terlalu banyak pilihan. Selain pawagam, perhatian mereka dibahagikan antara Netflix, TikTok, YouTube, permainan video, drama bersiri dan pelbagai platform lain.

Sebab itu filem yang bagus tetapi gagal mencipta awareness masih berisiko tenggelam.Trailer sahaja sudah tidak mencukupi.

Kempen filem sekarang perlu membina perbualan sebelum tayangan menerusi karakter, behind-the-scenes, kandungan pelakon, muzik, meme, premiere dan strategi media sosial yang membuatkan penonton rasa mereka ‘tak mahu terlepas’ filem tersebut.

Tarung: Unforgiven yang kini berada di kedudukan teratas carta filem tempatan 2026 dengan sekitar RM23.58 juta menunjukkan betapa besarnya potensi apabila sesebuah judul berjaya menarik penonton secara berskala.

Cabaran industri ialah menghasilkan perhatian seperti itu secara konsisten, bukan menunggu ia berlaku secara organik.

6. Kutipan Besar Belum Semestinya Bermaksud Industri Sudah Sihat

RM10 juta memang kedengaran besar. RM20 juta lebih besar. Tetapi angka box office bukan perkara yang sama dengan keuntungan bersih penerbit. Filem mempunyai kos produksi, pemasaran, pengedaran dan pelbagai komponen komersial lain.

Sebab itu ekosistem sokongan masih relevan. Program Wajib Tayang FINAS diwujudkan bagi memberikan platform lebih luas kepada filem Malaysia, manakala Insentif Tayangan Filem Cereka menyediakan insentif berdasarkan kutipan kepada produksi yang memenuhi syarat.

Untuk momentum 2026 benar-benar kekal, industri perlu sampai ke tahap di mana kejayaan filem membolehkan, penerbit buat filem, pekerja industri terus mendapat kerja, bakat baharu diberi peluang, keuntungan dilaburkan kepada projek lebih besar. Barulah box office yang tinggi berubah menjadi industri yang mampan.

7. Menang Di Malaysia Bagus, Tapi Langkah Seterusnya Adalah Keluar Dari Malaysia

Pasaran domestik mempunyai had. Jadi selepas penonton Malaysia mula menerima filem sendiri, cabaran yang lebih besar ialah mencari penonton serantau dan antarabangsa.

Indonesia, Singapura, Brunei dan pasaran Asia lain mempunyai potensi, manakala platform streaming pula membuka peluang kepada cerita tempatan untuk bergerak merentasi sempadan dengan lebih mudah.

Sebuah filem Malaysia tidak semestinya perlu menjadi ‘Hollywood’ untuk pergi global. Malah kekuatan sebenarnya mungkin terletak pada perkara yang paling lokal, budaya, bahasa, sejarah, komuniti dan pengalaman yang tidak boleh ditiru oleh industri lain.

Korea Selatan membuktikan cerita yang sangat lokal masih boleh mempunyai penonton global. Indonesia juga semakin agresif membawa filemnya ke pasaran serantau. Jika gelombang 2026 benar-benar mahu menjadi era baharu, sasaran selepas ini tidak boleh sekadar mengalahkan Hollywood di Malaysia.

Ia perlu membuatkan orang di luar Malaysia mahu menonton cerita Malaysia.

Jadi, Adakah Hollywood Sudah Kalah?

Belum. Dan mungkin itu bukan sasaran sebenar. Angka 7.55 juta berbanding 6.94 juta ialah pencapaian luar biasa, tetapi ia merujuk kepada tempoh Januari hingga Julai 2026, bukannya keputusan penuh setahun.

Apa yang lebih penting ialah perubahan sikap penonton. Dulu, filem tempatan sering perlu meyakinkan orang bahawa ia ‘berbaloi ditonton’.

Sekarang, lima filem sudah melepasi RM10 juta dan karya tempatan secara kolektif berjaya menarik lebih ramai penonton pawagam berbanding Hollywood dalam tujuh bulan pertama tahun ini. Itu bukan angka kecil. Tetapi ujian sebenar bermula selepas kejayaan.

Boleh tak 2027 ulang lagi? Boleh tak filem Malaysia pergi lebih jauh daripada pasaran sendiri? Kerana satu tahun yang bagus boleh dipanggil fenomena. Tetapi kalau ia berlaku berulang kali, barulah kita boleh panggilnya perubahan industri.

Sumber: FINAS, Bernama, Malay Mail, The Star