Pelakon, Nadia Kesuma dilaporkan gagal dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat.

Artikel Berkaitan: Intan Najuwa Mohon Bantuan Orang Ramai Cari Kucing Hilang – ‘Kalau Ternampak Beritahu, Nanti Saya Bagi Reward’

Hilang?

Perkara itu disahkan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS), Anne Abdullah.

Anne berkata, Nadia berlepas ke Tanah Suci pada malam Isnin melalui sebuah agensi pelancongan menerusi pakej umrah khas yang turut merangkumi lawatan ke beberapa negara termasuk London.

Setibanya di Jeddah, Nadia sempat menghantar mesej kepada suaminya memaklumkan dia selamat tiba. Selepas itu, dia sepatutnya menaiki penerbangan seterusnya ke London.

Namun pihak agensi memaklumkan Nadia tidak menaiki pesawat ke London dan sehingga kini telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi.

Tambah Anne, suami Nadia yang berasa bimbang telah menghubunginya untuk mendapatkan bantuan.

Persoalannya sekarang, sama ada Nadia masih berada di Jeddah atau di lokasi lain kerana dia memang tidak naik penerbangan ke London seperti dijadualkan.

Semakan di pihak lapangan terbang mengesahkan namanya ada direkodkan tiba di Jeddah, namun dia tidak mendaftar masuk untuk penerbangan seterusnya.

Anne turut memaklumkan Nadia melakukan perjalanan itu seorang diri dan tidak menolak kemungkinan berlaku sesuatu yang tidak dijangka sejurus selepas ketibaannya.

Sebelum hilang, Nadia ada menghantar mesej kepada suaminya mengatakan dia bertemu seseorang yang tidak dikenali, kemudian terus tiada khabar.

Kedua-dua telefon bimbitnya hanya menunjukkan mesej dihantar tetapi tiada sebarang respon.

Susulan kejadian itu, Anne berkata dia akan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membantu mengesan lokasi sebenar Nadia.

Sumber: Harian Metro