Sejak beberapa bulan ini, pelbagai insiden bertempat di dobi layan diri berlaku. Antaranya kejadian rompakan, kucing bunting ‘dipanggang’ dalam dryer dan terbaru gurauan melampau yang menyebabkan seorang budak terperangkap dalam mesin basuh tempoh hari.
Semalam, satu insiden hampir meragut nyawa berlaku kepada dua beranak yang mendobi di sebuah dobi layan diri di Klang.
Punca masih disiasat
Kejadian di sebuah dobi layan diri 24 jam di Jalan 3E, Bandar Putera 2, Klang itu menyebabkan bapa dan anaknya melecur setelah berlaku letupan. Kedua-dua mangsa melecur 50 dan 30 peratus dan sedang dirawat.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas tiba di lokasi kejadian, 10 minit kemudian.
Selepas memeriksa premis, kami mendapati letupan berlaku di bahagian simpanan tangki gas di dalam lubang seluas 3 meter persegi. Kedai dobi itu mengalami kerosakan 20 peratus dan punca kejadian masih disiasat.
Mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.
Bukan pertama kali
Menurut jurucakap City Coin Laundry Sdn Bhd, Kelvin Ang yang ditemui Harian Metro, francais di Bandar Putera, Klang itu sudah dipajak kepada pemilik lain, namun masih mengikuti perkembangannya.
Ini bukan kejadian letupan pertama membabitkan outlet Laundrybar kerana pada April lalu, berlaku letupan di premis di Jinjang menyebabkan seorang wanita berusia 40 tahun cedera.
Dalam kes pertama di Jinjang, kami dapat mengenalpasti punca letupan disebabkan kebocoran gas selepas kerja penyelenggaraan, namun untuk kes kali ini, puncanya belum diketahui dan dalam siasatan bomba.
Sebagai salah satu pelopor dalam perniagaan dobi, kami sentiasa mengamalkan langkah keselamatan ketat di outlet kami untuk memastikan keselamatan pelanggan sepanjang masa, namun sangat malang apabila insiden itu menyebabkan dua orang cedera.
Untuk rekod, sebelum ini kejadian sama turut berlaku di Jinjang pada April lalu menyebabkan seorang wanita melecur 50 peratus. Dalam pada itu, pada Februari tahun ini, satu kedai dobi terbakar akibat gas meletup di Jalan PJU 1A/4 Ara Damansara, kira-kira jam 8 malam, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Sumber: Berita Harian, Harian Metro