Sekumpulan lelaki ditahan polis selepas tertembak rakan sendiri ketika keluar memburu di Batu Caves, sebelum mayat mangsa dibawa sejauh hampir 300 kilometer dan ditinggalkan di Semanggol, Perak.

Tertembak rakan sendiri

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 43 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan tiga kesan tembakan di bahagian belakang badan di tepi jalan tanah merah di Kampung Selamat, Bagan Serai, Isnin lalu.

Menerut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, hasil siasatan mendapati tembakan itu berlaku secara tidak sengaja ketika mangsa keluar memburu bersama rakan-rakan pada malam Ahad.

Salah seorang daripada rakan telah tertembak mangsa kerana menyangka mangsa adalah haiwan buruan.

Sejurus kejadian itu, suspek bersama dua lelaki lain bersepakat membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan ke Semanggol dengan diiringi dua kenderaan lain.

Mereka kemudian meninggalkan mayat di tepi jalan tidak berturap untuk mencipta jalan cerita lain bagi mengaburi pihak berkuasa.

Difahamkan, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat kira-kira jam 3.55 pagi sebelum anggota dari Balai Polis Semanggol bergegas ke lokasi.

Hasil siasatan membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia 32, 33 dan 36 tahun. Manakala, pihak polis masih mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam insiden ini.

Salah seorang daripadanya mempunyai pertalian saudara dengan mangsa.

Ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari sehingga 6 Oktober untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Mazda BT-50, Toyota Hilux, dua laras senapang buatan sendiri, 11 butir peluru 12 bore serta empat telefon bimbit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kerian, Asisten Superintenden Ambri Mat Nayan di talian 012-5306567 atau balai polis terdekat.

Sumber: Sinar Harian