Selepas sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, kini tiba masanya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang juga merupakan hari kemenangan buat seluruh umat Islam.
Artikel Berkaitan: Membeli Baju Raya Baharu Tuntutan Agama Atau Sekadar Keinginan Nafsu? Ini Jawapannya
Amalan sunat Aidilfitri
Selain disambut sebagai hari kegembiraan, Hari Raya Aidilfitri adalah hari dimana umat Islam menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rahmat dan petunjukNya.
Bagi mendapat keberkatan dalam menyambut perayaan ini, umat Islam hendaklah menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Antara amalan Aidilfitri yang boleh kita lakukan adalah seperti yang berikut:
1. Menghidupkan malam Syawal
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah s.w.t, seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
2. Mandi sunat Aidilfitri
Mandi sunat Hari Raya biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri. Diharuskan mandi bermula dari tengah malam manakala waktu yang disunatkan pula adalah selepas terbitnya fajar hingga terbenam matahari.
3. Mengemaskan diri
Mencukur bulu-bulu, mengetip/memotong kuku dan merapikan janggut.
4. Berpakaian cantik
Berpakain cantik bukan bermaksud pakaian yang baru, mahal atau mewah. Sebaliknya pilihlah pakaian yang paling indah mengikut kemampuan dan tidak membazir.
5. Memakai haruman atau wangian
Imam Syafie pernah berkata:
Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.
6. Sarapan
Menjadi amalan sunah untuk makan dahulu sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata :
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.
7. Solat sunat Aidilfitri
Solat hari raya Aidilfitri ialah sunat muakkad dan terdiri daripada dua rakaat. Lafaz niat solat sunat Aidilfitri ini adalah seperti yang berikut:
Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Waktu solat hari raya adalah antara tempoh terbitnya matahari sehinggalah kepada tergelincirnya matahari atau secara mudahnya jam 8.00 pagi ke atas sehingga sebelum masuknya waktu solat zohor.
8. Memperbanyakkan takbir
Bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja mereka berada (selain dalam tandas). Takbir Aidilfitri boleh dibacakan bermula dari terbenam matahari akhir Ramadan hingga sebelum menunaikan solat Hari Raya.
9. Ziarah-menziarahi
Menziarahi keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan jiran tetangga bagi mengeratkan silaturhim.
Hadis dari Nabi Muhammad SAW bermaksud:
Barangsiapa yang suka untuk memperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Puasa sunat syawal (puasa 6)
Puasa sunat atau lebih dikenali sebagai ‘puasa 6’ mempunyai banyak kelebihannya memiliki ganjaran hebat buat mereka yang melaksanakannya.
Menurut sebuah hadis:
Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” – (Riwayat Muslim Ahmad Abu Daud Al Tarmizi Ibnu Majah
Puasa enam hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan secara berselang-seli, berturut-turut atau mana-mana hari dalam bulan tersebut selain hari pertama Hari Raya Aidilfitri.