Pelawak dan pelakon, Achey meluahkan kekecewaannya terhadap segelintir netizen yang gemar mengecam serta menyampaikan sesuatu berita tanpa melakukan sebarang usul periksa.
Artikel Berkaitan: ‘Bila Anak Dah Tahu Pasal Solat, Kadang-Kadang Saya Perlu Zohor 8 Rakaat’ – Achey
‘Ada yang melibatkan keluarga saya’
Ketika ditemui OhBulan!, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah memaklumkan bahawa dia sangat terkilan dengan sesetengah netizen yang memberikan kata-kata hinaan terhadap dirinya susulan tularnya poster filem terbaharu yang dibintanginya, Mat Tudung Begins.
Saya agak kecewa sebab akan datang anak saya membesar, saya ada keluarga dan kadang-kadang ada yang menyumpah seranah.
Saya sangat memerlukan komen-komen yang baik, membina dan positif. Walaupun dia cakap apa yang saya buat tu salah tapi kalau komen itu membina dengan cara baik, saya terima.
Tapi bila teguran itu menghina, melibatkan keluarga, melibatkan punca rezeki yang saya beri makan kepada anak-anak, dia seolah seperti menghukum.
Nak menegur jangan sampai menghukum.
Achey berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Mat Tudung Begins yang diadakan di TGV 1 Utama pada Jumaat malam.
Dalam pada itu, Achey turut berpendapat bahawa dia lebih menghormati mereka yang sopan serta yang menyusun kata-kata ketika memberikan nasihat terhadap dirinya.
Saya rasa dia (orang yang menghina) tidak layak untuk memberikan kata-kata sedemikian, dia tidak layak untuk mengajar, dia tidak layak.
Walaupun ada orang yang komen itu tidak terlalu bagus dalam agama tetapi cara dia komen sangat membina, saya lebih hormati dia.
Sebabnya dia menggunakan ayat-ayat yang bagus serta menjaga hati dan perasaan. Jadi bila dia tegur dengan berhemah kita macam, ‘Eh bagusnya kau ni, aku ambil pengajaranlah dengan kesilapan ni’.
Terdahulu, poster filem Mat Tudung Begins menjadi bualan ramai yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan gaya pemakaian yang menyerupai wanita yang dilakonkan di dalam filem tersebut.
Sekadar info, Achey merupakan salah seorang pelakon bagi filem terbaharu arahan Datuk Fizz Fairuz yang berjudul Mat Tudung Begins.
Selain Achey, antara pelakon yang turut membintangi filem ini termasuklah Datuk Fizz Fairuz, Mimi Peri, Isyariana, Maryam Durian Kimchi, Kazar Saisi dan ramai lagi.