
Mainan berbentuk dumpling yang lembut dan boleh dipicit atau lebih dikenali sebagai ‘squishy’ kini menjadi antara barangan popular kerana reka bentuknya yang comel.
Artikel Berkaitan: Kerajaan Pertimbang Haramkan Permainan Video Roblox & UMI Di Malaysia
Artikel Berkaitan: Haziq Hussni ‘Heart To Heart’ Dengan Anak Bahaya Permainan Video – ‘Mereka Terima Dengan Hati Terbuka’
‘Squeezy Dumplings’
Bagaimanapun, satu versi produk berkenaan telah ditarik balik di United Kingdom selepas dikesan mengandungi bahan kimia berisiko.
Produk bernama ‘Squeezy Dumplings’ yang diedarkan oleh Samsons Cash and Carry Ltd diarahkan untuk ditarik balik oleh Office for Product Safety and Standards (OPSS), UK) selepas ujian mendapati lapisan luar mainan itu mengandungi benzena pada kepekatan 20 mg/kg.
Produk tersebut turut didapati tidak mempunyai nombor kelompok atau maklumat pengenalan yang jelas pada pembungkusan.
Benzena ialah bahan kimia industri yang biasanya digunakan sebagai pelarut serta dalam penghasilan plastik, foam dan pewarna. Namun, bahan ini bukan diperlukan untuk menghasilkan tekstur lembut pada mainan squishy.
Punca sebenar benzena ditemui pada produk itu masih belum diketahui. Ia mungkin berpunca daripada pencemaran bahan mentah atau proses pembuatan, tetapi perkara tersebut belum disahkan.
Benzena berbahaya?
Benzena boleh memberi kesan kepada kesihatan jika seseorang terdedah dalam jumlah tertentu. Pendedahan jangka pendek boleh menyebabkan iritasi, pening, sakit kepala atau rasa loya, manakala pendedahan berulang dalam tempoh lama boleh menjejaskan sistem penghasilan darah.
Bagaimanapun, memegang mainan itu sekali tidak bermaksud seseorang akan terus mengalami masalah kesihatan. Sebaliknya, risiko bergantung kepada jumlah bahan kimia, tempoh serta cara pendedahan.
Belum ada bukti bahawa semua produk yang kelihatan sama mempunyai kandungan serupa dan berbahaya. Reka bentuk yang sama tidak semestinya bermaksud ia menggunakan bahan atau pengeluar yang sama.
Jika sudah membeli produk mencurigakan, elakkan menghidu, memotong atau memanaskannya. Jika terkena kulit, basuh dengan sabun dan air. Dapatkan rawatan jika berlaku simptom seperti iritasi berterusan atau kesukaran bernafas.
Sumber: Public Health Malaysia