Selebriti popular Neelofa akui timbul perasaan tertekan apabila sering diasak dengan pertanyaan peminat yang menanti wajah anak lelakinya, Muhammad Bilal.
Artikel Berkaitan: Dekat DM Tak Henti Netizen Tanya Pasal Wajah Anak, Neelofa Mohon Masa – ‘Bagi Bilal Besar Dulu Dan Kuat’
Pilih jalan selamat
Biarpun setiap hari menerima soalan yang sama, Neelofa, 33, tetap dengan keputusan untuk tidak berkongsi wajah Bilal dalam masa terdekat.
Risau dengan kesihatannya, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor akan sebaik mungkin menjadi ibu yang sempurna dengan melindungi dan menghindari daripada penyakit ain.
Keputusan ini dibuat secara bersama dengan suami saya. Bilal mempunyai ibu dan ayah yang terlibat dalam dunia yang sama walau arahnya berbeza. Saya di bidang seni manakala ayahnya pula lebih kepada bidang keagamaan.
Mungkin perhatian dan keinginan orang untuk melihat dan nak tahu itu lebih. Tapi, kita cuba elak daripada penyakit ain sebab kita tak tahu bukan. Nak cakap saya tak buat langsung itu pun belum pasti.
Saya pun mungkin tak cukup kuat untuk buat amalan-amalan yang menghindari penyakit tersebut, namun sedang mencuba. Tak berani janji yang diri akan jadi sempurna untuk melindungi anak daripada penyakit ain ini.
Nauzubillah, kalau terkena pada budak-budak, mak ayah yang akan pening kepala nanti. Jadi, kita ambil jalan selamat. Kalau mereka itu tidak terlibat dengan dunia hiburan dan tidak dikenali, mungkin lebih senang.
Neelofa ditemui ketika majlis pelancaran Waqaf Al-Quran dan Usrah Ajaibnya Berwakaf yang diadakan di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, pada Isnin.
Turut hadir ke majlis kerjasama antara Pertubuhan Kasih Neelofa dan Yayasan Restu tersebut ialah penceramah jemputan, Ustazah Asni Mansor dan Ustazah Aishah Ba’in.
Elak anak jadi ‘limelight’
Ditanya sama ada Bilal akan seiring dengan dirinya dan suami, pendakwah bebas dan aktor Haris Ismail dalam industri, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot tidak ada jawapan yang pasti.
Katanya, dia akan mencuba untuk tidak ketengahkan Bilal kerana baginya itu adalah keputusan terbaik.
Saya pun tak boleh nak cakap pada masa depan nanti bagaimana. Lagi pula dengan zaman media sosial sekarang, trend dan sebagainya, nak kata saya ada ketetapan jawapan untuk itu pun tak ada.
Buat masa sekarang, saya nak cuba untuk tidak meletakkan anak saya di bawah ‘limelight’ itu. Rasanya ini yang terbaik. Saya juga tak menolak, hari-hari ditanya ramai, bila nak tunjuk wajah anak dan ia membuatkan saya sedikit tertekanlah juga.
Dalam pada itu, bekas hos program MeleTOP menyifatkan perjalanan menjadi ibu sangat tidak mudah tetapi semua penat lelah terubat selepas menatap wajah Bilal.
Saya rasa semua ibu pun pasti akan rasa benda yang sama cuma pengalamannya yang berbeza-beza. Saya pun tentu ada cabaran tersendiri yang dilalui namun pada masa yang sama, perasaan kusut dan tertekan itu seringkali mudah terubat apabila menatap wajah Bilal.
Pada 29 Januari, Neelofa melahirkan anak lelaki, Muhammad Bilal di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac 2021.