
Usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa secara rasmi mengesahkan kedudukannya sebagai pemegang saham majoriti syarikat teknologi gaya hidup Muslim, TheNoor, sekali gus menandakan lembaran baharu bagi syarikat itu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Detik Itu Saya Tahu Dia Jatuh Cinta Pada Al-Quran’ – Neelofa Kongsi Tips Didik Anak
Artikel Berkaitan: Neelofa Kongsi Perjalanan Umrah, Susah Nak ‘Move On’ Selepas Balik KL – ‘Separuh Jiwa Masih Di Sana’
Fasa baharu

Sebelum ini, Neelofa tidak terlibat dalam operasi harian syarikat itu sejak penubuhannya hingga tahun 2024. Namun bermula Ogos 2024, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd Noor, 36, mengambil alih sepenuhnya pengurusan syarikat berkenaan.
Neelofa kini membawa visi baharu yang lebih strategik, telus dan berfokus kepada pertumbuhan mampan TheNoor.
Dalam masa sama, pelan penstrukturan menyeluruh telah dilaksanakan sejurus Neelofa menerajui syarikat. Ia merangkumi, pelantikan barisan pengurusan kanan berwibawa, kerjasama dengan syarikat pembangunan perisian bertaraf global, pembentukan jawatan baharu bagi memperkukuh struktur operasi dan pembangunan semula aplikasi yang bakal memperkenalkan TheNoor Pro, dijangka dilancarkan sebelum hujung tahun ini.
Perkembangan TheNoor
Selain itu, syarikat terbabit sedang menjalinkan kolaborasi strategik bersama Proton, yang akan menyaksikan aplikasi TheNoor dipasang secara terus dalam tujuh model kenderaan.
Dalam perkembangan lain, Neelofa telah menjalankan semakan forensik menyeluruh kerana mendapati terdapat beberapa perkara dalam syarikat yang memerlukan penelitian semula susulan ada pelbagai isu ketidakpatuhan tadbir urus dan dokumentasi telah dibangkitkan oleh auditor syarikat yang tidak dijawab oleh pengurusan terdahulu bagi tahun kewangan 2023.
Dalam usaha memperkukuh hala tuju syarikat, Neelofa bertekad memastikan TheNoor terus berkembang sebagai peneraju teknologi gaya hidup Muslim di peringkat global. Fokus utama adalah untuk membina sebuah platform yang bukan sahaja inovatif, malah mempunyai daya saing yang tinggi dalam mendepani cabaran industri masa kini.
Saya yakin TheNoor mempunyai potensi yang amat besar untuk berkembang jauh ke hadapan.
Fokus kami kini ialah membina semula asas yang kukuh, meningkatkan ketelusan dan memperkenalkan inovasi yang benar-benar memberi manfaat kepada komuniti Muslim di seluruh dunia.
Ditubuhkan pada tahun 2020, TheNoor muncul sebagai aplikasi gaya hidup Muslim yang mencatatkan kejayaan luar biasa dengan lebih 4.33 juta muat turun dan 650 ribu pengguna aktif harian sehingga kini.
Platform tersebut telah menembusi hampir 200 negara dengan pengguna terbesar dari Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia, Arab Saudi, Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Hong Kong, menjadikan TheNoor antara aplikasi Muslim paling berpengaruh di rantau ini.








