Malang tidak berbau, pelakon Nelissa Nizam mendedahkan dirinya hampir menolak tawaran membintangi drama Seadanya Kita selepas mengalami insiden jatuh di bilik air beberapa hari sebelum penggambaran bermula.

Artikel Berkaitan: Netizen Pertikai Kerap Bawa Watak Antagonis, Nelissa Nizam Berpendapat Semua Ada Cabaran Tersendiri – ‘Saya Akan Usahakan’

Jatuh bilik air

Nelissa atau nama lengkapnya Nelissa Edreena Nizam, 27, berkata, kemalangan itu menyebabkan dahinya mengalami luka parah sehingga perlu menerima banyak jahitan.

Saya hampir menolak tawaran berlakon dalam drama Seadanya Kita pada saat akhir disebabkan lima hari sebelum masuk set saya jatuh bilik air. Banyak juga jahitan.

Dahi saya koyak dan terbelah sehingga nampak tulang. Saya rasa sedih ketika itu kerana terpaksa lepaskan tawaran tersebut.

Nelissa berkata demikian ketika ditemui pada majlis Watch Party Seadanya Kita yang berlangsung di W Factory, Shah Alam, baru-baru ini.

Namun begitu, Nelissa bersyukur kerana pihak produksi memahami keadaannya dan memberi ruang untuknya berehat sehingga pulih sebelum kembali ke set penggambaran.

Saya beritahu pengurus, tidak mahu menyusahkan sesiapa terutama pihak produksi. Saya anggap bukan rezeki, tetapi produksi beritahu watak dalam drama itu memang untuk saya.

Selepas berbincang, saya diberikan cuti sekejap sebelum masuk set dan kemudian memulakan penggambaran. Saya diberikan rehat dalam 10 hari.

Sebab itu kalau lihat gaya rambut saya dalam drama berkenaan, bahagian depan dahi saya tutup.

Selain Nelissa, Seadanya Kita yang ditayangkan di platform OTT Viu Malaysia turut dibintangi Mierul Aiman, Emma Maembong, Shah Jaszle, Ara Johari dan ramai lagi.