berita

Ning Baizura Dapat Pujian, Tarik Diri Daripada Persembahan “Guinness Arthur’s Day”

September 13th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Menerusi laporan pihak OHBULAN! semalam, Ning Baizura dikatakan telah menarik diri daripada menjayakan persembahan di acara “Guinness Arthur’s Day” yang bakal berlangsung pada 28 September ini di Souled Out, Mont Kiara. Penarikan diri tersebut adalah berikutan isu yang kononnnya persembahan penyanyi ini ditaja oleh jenama minuman keras dan mukanya telah disalahgunakan oleh syarikat tertentu sebagai poster untuk mempromosikan minuman keras tersebut.

Berikutan penarikan diri Ning Baizura daripada meneruskan persembahan tersebut, dia telah mendapat pujian daripada bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menerusi laporan di Sinar Harian Online hari ini. Dr Asri yang juga merupakan Pensyarah Bahagian Pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia telah melahirkan ucapan tahniah kepada Ning Baizura atas tindakan bijaknya itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ning. Ini adalah sikap yang baik,” katanya.

Selain itu, Dr Asri turut mengeluarkan kenyataan bahawa, sekiranya sebarang persembahan yang diadakan dipercayai mempunyai kaitan dengan kempen mempromosi minuman keras sama ada secara langsung atau tidak langsung, ia adalah haram.

Menurut laporan yang sama, Dr Asri turut menyeru agar para artis memperbaiki diri mereka dengan mempelajari asas-asas agama untuk kebaikan diri sendiri.

“Maksud saya di sini bukanlah untuk menggesa mereka menjadi pendakwah sebaliknya untuk memastikan mereka mempunyai asas agama yang kukuh untuk tidak melanggar batas agama walaupun mereka terlibat dalam bidang hiburan,” ujar Dr Asri.