Seramai 15 selebriti tanah air akan berjalan di pentas peragaan bersama kanak-kanak istimewa dari Rumah Ronald McDonald dari Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) pada 26 September depan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nor Albaniah Akui Sunyi, Terbuka Hati Untuk Kembali Berumah Tangga – ‘Kalau Ada Orang Nak, Saya Ingin Kahwin’

Artikel Berkaitan: Marc Sadique Mahu Buktikan Bukan Sekadar Pelakon Muka ‘Handsome’, Jawab Dakwaan Anak Emas Zeel Production

Anak istimewa catwalk

Antara selebriti yang terlibat ialah Aleeza Kassim, Nor Albaniah dan Marc Sadique, selain beberapa nama lain yang akan turut memeriahkan acara Couture Wedding Charity Fashion Showcase – Anas Abdullah x RMHC Malaysia.

Menariknya, acara yang menggabungkan dunia fesyen couture dan kerja kebajikan itu bukan sekadar menampilkan koleksi busana eksklusif, sebaliknya memberi ruang kepada kanak-kanak istimewa untuk tampil di pentas dan diraikan.

Menurut pengasasnya, Datuk Seri Anas Abdullah, penganjuran acara tersebut adalah usaha menyemai kesedaran dalam masyarakat agar sentiasa melakukan kebaikan dan berkongsi kelebihan dimiliki dengan golongan memerlukan.

Saya sebenarnya mahu wujdukan kesedaran dalam kalangan masyarakat, sebagai muslim kita percaya setiap kebaikan akan diberi ganjaran pahala. Apabila sering menyebut tentang saham akhirat, maka sentiasa berbuat baik.

Sebagai contoh, saya dilahirkan dengan bakat menjahit dan hasilkan baju, maka saya akan gunakan kelebihan itu untuk buat perkara yang baik.

Melalui acara pertunjukkan fesyen ini, saya dapat membantu golongan mereka yang memerlukan, terutama kanak-kanak istimewa di RMCH.

Kumpul dana

Antara kanak-kanak yang bakal diraikan bawah naungan RMHC Malaysia termasuk pesakit pediatrik, kanak-kanak Sindrom Down, pesakit kanser serta kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit.

Dalam masa sama, acara berkenaan turut membawa misi amal apabila sebahagian daripada usaha penganjurannya bertujuan mengumpul dana bagi menyokong program kebajikan RMHC Malaysia, khususnya Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selain membantu menyalurkan sokongan kepada golongan yang memerlukan, acara tersebut turut menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai cabaran yang dihadapi kanak-kanak berkeperluan khas dan pesakit pediatrik.

Selain itu, acara tersebut diharap dapat menggalakkan lebih banyak pihak daripada sektor korporat dan masyarakat umum untuk bersama-sama membudayakan amalan memberi serta memperkukuh tanggungjawab sosial.

Couture Wedding Charity Fashion Showcase – Anas Abdullah x RMHC Malaysia akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), pada 26 September 2026, bermula jam 2 petang.

Mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan meja bagi menyokong acara amal ini boleh menghubungi wakil Anas Abdullah untuk maklumat lanjut.