
Penyanyi Noraniza Idris tampil membuat laporan polis selepas mendakwa perniagaan muruku miliknya dianiaya sebuah akademi keusahawanan sehingga mengalami kerugian RM630,000.
Artikel Berkaitan: Noraniza Idris Menangis Baca Komen Netizen Kata Konsert Qalam Tak Gempak – ‘Selama 39 Tahun Berkarya, Itu Pertama Kali Saya Buat Konsert’
Rugi RM630,000
Noraniza, 57, berkata, dia menyedari pihaknya telah ditipu apabila akademi tersebut tidak membuat sebarang pembayaran selepas mengambil kira-kira 20,000 pek maruku.
Saya terima pelawaan mereka kerana ingin membantu. Lagipun saya memang selama ini sentiasa menyokong aktiviti amal kebajikan (CSR). Bagaimanapun, niat baik telah dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 sahaja. Cara bayaran pun dibuat berperingkat.
Sejak menyedari diri telah ditipu sejak Jun tahun lalu, saya sering menuntut bayaran daripada pihak mereka namun sampai ke hari ini pelbagai alasan diberikan sehingga nilai kerugian yang saya tanggung mencecah RM630,000.
Kerugian tersebut merangkumi mesin khas pembuatan muruku, pencetakkan, pembungkusan tertera logo syarikat tersebut serta kos pembayaran pekerja.
Noraniza berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, pada Selasa.
Turut hadir bersama Noraniza ialah anak keduanya, Fee Haiqal, 32.
Terpaksa rehatkan lebih 10 pekerja
Tambah pelantun lagu Dikir Puteri itu lagi, susulan penganiayaan tersebut, dia terpaksa merehatkan lebih 10 orang pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.
Bagi memenuhi permintaan syarikat terbabit saya perlu menambah kakitangan. Namun apabila jadi perkara begini, daripada 20 pekerja, kini hanya tinggal empat orang sahaja.
Saya tak boleh tutup perniagaan ini sebab ini bisnes keluarga. Jadi mahu atau tidak saya terpaksa teruskan kerana kami masih lagi mendapat permintaan atas talian.
Berkongsi lanjut, Noraniza memberitahu, kejadian itu telah mengganggu emosi anak-anaknya dan keluarga apalagi mengenangkan usaha membangunkan syarikat ini telah dilakukan sejak setahun lalu.
Apabila keadaan ini berlaku, saya kasihan tengok keadaan anak-anak kerana mereka sanggup tak tidur dan berjaga malam untuk pastikan kilang ini beroperasi.
Saya nekad buat laporan polis ini sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula serta membantu orang lain supaya jangan terpedaya dengan orang begini.
Saya harap mereka yang terlibat melihat artikel ini supaya tampil ke depan memberi kenyataan kenapa melakukan penganiayaan begini agar syarikat lain pun boleh lebih berhati-hati.
Terdahulu, Noraniza mendakwa dirinya dianaiya sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000 awal tahun ini.
Difahamkan, akademi terbabit menawarkan peluang di platform mereka untuk penjualan produk makanan iaitu muruku yang diusahakan oleh Noraniza.