Penyanyi, Nubhan menjelaskan keadaan dirinya yang memilih untuk berdiam diri susulan pelbagai dakwaan menimpanya demi menjaga hati banyak pihak.

Artikel Berkaitan: Dr Afifah Didakwa Langgar Tiga Perintah Mahkamah, Nubhan Sedia Tarik Balik Dengan Bersyarat

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nubhan Lengkap Bersut Hitam, Hanya Harapkan Yang Terbaik

Terlalu banyak fitnah

Ketika ditemui OhBulan!, Nubhan atau nama penuhnya Ahmad Nubhan Ahamad akui memilih mahkamah sebagai saluran yang sebaiknya untuk membersihkan namanya.

Tambah Nubhan, keputusannya sebelum ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan adalah bagi memastikan tiada mana-mana pihak terpalit atau terkena tempias daripada keadaan tersebut.

Bila berdiam, mungkin orang ingat saya takut, mungkin orang ingat saya salah.

Saya menggunakan saluran ini untuk mempertahankan dan membersihkan balik nama saya.

Tapi dalam masa sama saya masih menghormati banyak pihak yang perlu saya jaga, sebab itu sebelum ini saya pilih untuk berdiam.

Nubhan berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai prosiding kes komital difailkannya terhadap bekas isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada pagi Selasa.

Mengulas lanjut dakwaan yang menimpanya, pelantun lagu Andai Derita itu mengakui jumlah tuduhan yang diterima terlalu banyak sehingga mencetuskan pelbagai bentuk kebencian terhadap dirinya.

Sebenarnya terlalu banyak fitnah yang berlaku sebelum ini. Banyak sangat fitnah.

Jadi benda itu telah menimbulkan banyak kebencian kepada saya.

Saya banyak diam sebelum ini. Tapi makin saya diam makin menjadi-jadi pula.

Prosiding komital pelanggaran perintah mahkamah berkenaan didengar di hadapan pendaftar, Dr Shanizah Ngatiman.

Nubhan diwakili peguam syarie Mohd Redzuan Ramli, manakala Afifah diwakili peguam syarie Nor Hazura Hamzah.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sambungan prosiding kes tersebut.

Untuk rekod, Nubhan mendirikan rumah tangga dengan Afifah pada 29 Ogos 2015 sebelum disahkan bercerai talak dua pada 2 Disember 2025 di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia, 9, Ahmad Aaffan, 7, dan Afzan Nayille, 4 tahun.