
Penyanyi, Nubhan mengakui isu rumah tangganya bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek bukan alasan untuk dia tidak melakukan yang terbaik dalam program Gegar Vaganza 12 (GV12).
Artikel Berkaitan: ‘Nubhan Seorang Abah Yang Baik’ – Dr Afifah Tak Halang Anak-Anak Bertemu Keluarga Mentua
Enggan fikir isu rumah tangga
Enggan menghampakan peminat, Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 39, berkata, dia hanya ingin memberikan fokus sepenuhnya dalam program tersebut dan mengetepikan sementara isu rumah tangganya.
Saya hanya mahu berikan 100 peratus kepada GV12. Saya kena fokus sebab GV sekarang menjadi tanggungjawab dan tak boleh nak main-main.
Saya tidak mahu menghampakan peminat yang setiap minggu datang dan yang di rumah. Mereka penat menjerit nama saya, bawa banner. Dengan berikan yang terbaik, itulah balasan saya untuk mereka.
Nubhan berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert minggu keempat GV12 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Dalam pada itu, diminta mengulas mengenai wujud orang ketiga yang didakwa punca keretakan rumah tangganya, Nubhan enggan mengulas lanjut.
Saya tidak mahu ulas tentang isu itu, isu itu sudah lama. Sekali lagi saya beritahu, fokus saya ketika ini adalah GV12.
Terdahulu, Nubhan telah memfailkan hadanah penuh serta interim terhadap anak-anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Dalam pada itu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang telah menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi itu ke atas Dr. Afifah.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Afifah juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.