Penyanyi dan komposer, Mimifly meluahkan rasa syukur dan terharu apabila lagu hitsnya berjudul Angkat tercalon dalam kategori Lagu Paling Hot di OhBulan! Paling Viral Online.

Artikel Berkaitan: Galau, Cinta & Nostalgia, Ini 10 Lagu ‘Hot’ Pecah Carta Yang Tercalon Di ‘OhBulan! Paling Viral Online’

‘Yakin dengan diri sendiri’

Mimi atau nama sebenar Mimi Norhisham, berkata, pencalonan itu amat bermakna kerana lagu tersebut memiliki mesej yang cukup dekat di hatinya serta menggambarkan perjalanan emosinya sebagai seorang anak seni.

Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan terharu. Lagu ini memang sangat peribadi buat saya, jadi apabila pendengar dapat merasai energi serta menghargai mesej yang ingin disampaikan, sudah cukup menjadi kemenangan besar.

Kita semua ada perjuangan masing-masing. Lagu ini mahu mengingatkan walau apa pun yang berlaku, kita masih boleh bangun dan terus mara ke depan. Saya mahu pendengar berasa kuat dan yakin dengan diri sendiri.

Bercerita lanjut, Mimi berkata, penulisan lirik lagu turut diilhamkan daripada pengalaman peribadinya yang pernah melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun dalam kehidupan.

Dari sudut produksi, Angkat dihasilkan bersama penerbit Bo Ikram a.k.a Cuurley, manakala muzik video diarahkan oleh Hafiz dengan sentuhan koreografer Ayana serta barisan penari seperti Mimi Shoba, Dhart, Wadi, Shahrul dan Baba.

Saya akui agak gementar ketika menghasilkan Angkat kerana ia berbeza dengan karya saya sebelum ini. Namun sebagai artis, saya percaya kita perlu berani keluar daripada zon selesa dan cuba sesuatu yang baru.

‘Angkat’ mesej

Dalam pada itu, Mimi terharu apabila lagu tersebut mendapat perhatian dan menjadi tular di platform TikTok serta sering dijadikan lagu latar oleh golongan muda untuk kandungan berbentuk motivasi.

Tak sangka lagu ini boleh sampai sejauh itu. Paling menyentuh hati apabila ramai yang menggunakan Angkat untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Itu membuktikan karya ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga mesej kekuatan.

Kalau Angkat menang, saya ingin berterima kasih kepada seluruh pasukan dan peminat yang tidak pernah berhenti menyokong.

Untuk diri sendiri pula, saya ingin berpesan supaya jangan berhenti percaya, kerana kamu mampu dan boleh.

Undian kini dibuka sehingga 25 November 2025, dengan maksimum 50 undian setiap hari. Senarai Top 5 akan diumumkan pada 1 Disember, sebelum malam kemuncak berlangsung pada 19 Disember 2025, jam 9 malam.

Untuk memperluas capaian, OhBulan! melaksanakan kempen promosi berskala besar merangkumi artikel khas, video pendek di TikTok & YouTube, podcast Show Dalam Bilik serta kempen iklan digital.

Selain itu, kolaborasi bersama TV3, Hot FM dan Kool 101 juga dijalankan untuk memastikan sambutan lebih meluas.

Penggunaan hashtag rasmi #ohbulanpalingviralonline turut digalakkan bagi merancakkan perbualan dan interaksi di media sosial.

Untuk mengundi dan maklumat lanjut sila layari www.ohbulan.com/ohbulanpalingviralonline.