Pelakon dan pengacara, Scha Alyahya tampil bersetuju dengan pandangan rakan selebriti, Yusuf Bahrin, yang baru-baru ini mengenai realiti kerjaya sebagai anak seni yang tidak seindah seperti yang disangka ramai.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Dah Ada Senarai Barangan Yang Perlu Sedia’ – Scha Alyahya

Artikel Berkaitan: ‘Tidak Ada Rumah Tangga Yang Sentiasa Indah’ – Scha Alyahya Akui Ada Pasang Surut Bersama Awal Ashaari

Realiti kehidupan selebriti

Ketika ditemui OhBulan!, Scha, 43, menyatakan bahawa masyarakat sering melihat kehidupan selebriti dari sudut luaran semata-mata, sedangkan realiti kerjaya sebagai anak seni juga tidak terlepas daripada fasa pasang surut kehidupan.

Filem terbaharu saya, iaitu Kata Hati membawa mesej hampir sama dengan apa yang diperkatakan oleh Yusuf Bahrin.

Dalam filem itu, kita menggambarkan bagaimana masyarakat hanya melihat lapisan luar kehidupan seorang selebriti, sedangkan pada akhirnya, ia juga pekerjaan yang ada pasang surutnya.

Kepayahan itu datang daripada pelbagai sudut, termasuk cabaran di sebalik tabir dan tanggapan masyarakat yang kadangkala turut memberi tempias kepada keluarga.

Itulah perkara yang sebenarnya berat untuk dihadapi.

Scha berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem 5 Bomoh di GSC Cinema, Mid Valley, pada Rabu.

Berdepan pelbagai cabaran

Dalam masa sama, isteri kepada pengacara, Awal Ashaari berpandangan industri hiburan tempatan berdepan cabaran yang berbeza berbanding industri luar negara seperti Hollywood.

Hal ini kerana, barisan selebriti di Malaysia bukan sahaja perlu berkarya, malah turut aktif mempromosikan hasil kerja mereka sendiri.

Kalau kita lihat di Hollywood, ada pelakon yang hanya membintangi sebuah filem setahun, tetapi menerima bayaran yang sangat lumayan.

Di Malaysia, artis bukan sahaja perlu berlakon, tapi perlu aktif mempromosikan karya, marketing, menghasilkan content di media sosial dan membina jenama diri sendiri.

Kadang-kadang orang melihat dari luar dan menganggap kehidupan artis sentiasa mudah.

Mereka mungkin cakap, ‘Siapa suruh jadi artis?’. Tetapi, hakikatnya setiap orang ada cabaran masing-masing.

Saya bukan nak membandingkan atau memperkecilkan kesusahan orang lain, tetapi setiap individu ada perjuangan tersendiri dalam mencari rezeki.

Tambah Scha lagi, saiz pasaran industri hiburan tempatan yang agak terhad serta kesukaran untuk menembusi pasaran antarabangsa merupakan antara kekangan utama yang terpaksa dihadapi oleh para penggiat seni tempatan.

Di samping itu, Scha mengakui cabaran tersebut bukan sahaja dirasai oleh golongan artis, malah turut memberi kesan kepada penerbit serta semua pihak yang terlibat dalam industri memandangkan peluang pekerjaan tidak sentiasa hadir secara berterusan.

Pasaran kita tidak besar dan peluang untuk tembusi pasaran luar juga bukan mudah.

Jadi, banyak batasan yang perlu kami hadapi.

Bercakap tentang pendapatan, cabaran itu bukan sahaja membabitkan artis, tetapi turut dirasai penerbit dan semua pihak (crew) yang terbabit dalam industri ini.

Bukan tidak cukup, tetapi peluang dan kekerapan kerja itu tidak datang sepanjang masa.