berita

Padah Panjat Pokok ‘Suci’ Demi TikTok, Mat Saleh Dihalau Keluar Indonesia

June 15th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Seorang lelaki yang berasal dari Australia dihantar pulang ke negara asalnya selepas ditangkap memanjat pohon beringin yang dianggap suci, demi kandungan media sosial semata-mata.

Panjat pokok sebagai hobi

Memetik laporan Kompas.com, Pejabat Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia memaklumkan bahawa Samuel Lockton telah mengganggu penduduk di Kampung Tradisional Kelod Kelaci, Tabanan, Bali.

Ketua Kementerian berkenaan, Anggiat Napitupulu berkata, lelaki itu tidak dibenarkan berada di Bali lagi selepas melakukan gangguan tersebut.

Kita perintahkan dia meninggalkan Indonesia dan dilarang masuk ke negara ini dalam tempoh tertentu.

Tambah Anggiat, lelaki itu sudah memohon maaf kepada masyarakat adat terutamanya masyarakat Pura.

Terdahulu, Samuel mengaku memanjat pokok tersebut beberapa kali sebagai hobi serta merakamkan aksinya untuk dimuat naik di laman TikTok.

Dia memasuki negara itu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Tuban, Bali, 6 Jun lalu menggunakan visa pelancong.

Sabtu lalu, penduduk setempat menangkap lelaki tersebut dan dibawa ke balai polis, sebelum diserahkan kepada pihak imigresen untuk proses selanjutnya.

Sumber: Kompas.com

SKIP THIS AD ×