berita

Pakaian Tradisional Korea Kena ‘Claim’, Park Shin Hye & Hyoyeon SNSD Dikecam Netizen China

February 16th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Selebriti Korea Selatan kini menjadi bahan kecaman netizen China yang menganggap Hanbok, pakaian tradisional Korea Selatan adalah pakaian asal China, dan Korea dituduh ‘mencuri’ busana tradisi negara mereka.

Hyoyeon tutup komen Instagram

Beberapa selebriti Korea Selatan terpaksa menghadap ledakan kemarahan dan kecaman netizen China yang penuh dengan unsur nationalisme mempertahankan busana tradisional Hanbok. Konflik tersebut bermula selepas seorang peserta dari China di persembahan pembukaan Olimpik Musim Sejuk Beijing telah memakai pakaian tersebut dan mewakili Korea Selatan.

Kedutaan China kemudian telah mengeluarkan kenyataan bahawa ianya tidak salah bagi seorang wanita berbangsa China untuk mengenakan pakaian tersebut kerana kedua-dua negara itu berkongsi asal usul sejarah yang lebih kurang sama. Namun, wakil-wakil dari Korea Selatan pula tidak bersetuju dan menganggap bahawa China ingin ‘menuntut’ budaya mereka.

Hal itu kemudiannya mencetus ‘peperangan’ antara netizen dari dua negara tersebut yang saling mempertahankan busana dan budaya negara masing-masing di pelbagai platform media sosial.

Antara yang terkena tempias, pelakon terkenal, Park Shin Hye, 31 tahun yang memuat naik sekeping gambar memaparkan dirinya memakai busana tradisi Korea, Hanbok dengan menggunakan tanda pagar #koreantraditionalclothes. Shin Hye sehingga hari ini masih dihujani dengan kecaman daripada warganet China, selain menerima ugutan.

Saya tak mahu tengok drama awak dah. Awak tak layak dapat perhatian dari China.

Selain Shin Hye, anggota kumpulan SNSD, Hyoyeon juga menerima kecaman yang serupa selepas dia memuat naik gambar memakai Hanbok di laman Instagram. Penari utama kumpulan SNSD itu kemudian membuat keputusan untuk menutup ruangan komen di laman itu dengan sepenuhnya.

Antara selebriti lain yang turut dikecam termasuk pelakon Kim So Hyun, kumpulan Mamamoo, dan ahli kumpulan BTS, Suga yang dihujani komen netizen China, sehingga ada yang memohon kumpulan tersebut diboikot.

Sumber: Insider, allkpop

SKIP THIS AD ×