Ulser mulut, yang turut dikenali sebagai ulser aphthous, merupakan luka kecil yang terbentuk pada lapisan tisu lembut di dalam rongga mulut seperti gusi, bahagian dalam pipi, bibir atau lelangit.

Artikel Berkaitan: Keracunan Makanan: Ketahui Gejala, Punca & Rawatan

Artikel Berkaitan: Risiko Pemakaian ‘Skinny Jeans’ Terhadap Kesihatan

Rasa pedih & bengkak

Kebiasaannya, ulser ini berbentuk bulat atau bujur dengan permukaan berwarna putih, kekuningan atau kemerahan di sekelilingnya.

Keadaan ini bukan sahaja boleh menyebabkan pembengkakan, malah sering disertai rasa pedih dan sakit yang ketara sehingga mengganggu aktiviti harian seperti makan, minum dan bercakap.

Ulser mulut lazimnya terbentuk akibat pelbagai faktor seperti kerengsaan pada tisu mulut, kecederaan kecil, atau kekurangan vitamin tertentu dalam tubuh.

Ia berbeza dengan kudis herpes atau cold sores yang biasanya muncul di bahagian luar atau permukaan bibir dan berpunca daripada jangkitan virus.

Dari segi penularan, ulser mulut tidak berjangkit dan tidak boleh merebak kepada orang lain, manakala kudis herpes mempunyai risiko untuk berjangkit melalui sentuhan langsung antara individu.

Kebiasaannya, ulser yang muncul pada bahagian bibir tidak memerlukan rawatan khusus kerana ia lazimnya akan pulih dengan sendiri dalam tempoh sekitar satu minggu hingga dua minggu.

Namun begitu, bagi membantu meredakan rasa sakit serta mencegah sebarang komplikasi, terdapat beberapa langkah rawatan yang boleh dipertimbangkan, terutamanya apabila ulser tersebut menyebabkan kesukaran untuk makan dan minum.

Langkah penjagaan di rumah

Terdapat juga beberapa langkah penjagaan di rumah yang boleh diamalkan bagi mengurangkan ketidakselesaan akibat ulser pada bahagian bibir.

Antaranya ialah menggunakan ubat khusus untuk ulser mulut yang mudah didapati di farmasi, memperbanyakkan pengambilan air bagi memastikan badan sentiasa terhidrat, serta mengekalkan kebersihan mulut pada tahap yang optimum supaya kawasan mulut sentiasa bersih.

Selain itu, membilas mulut dengan air garam suam beberapa kali sehari juga boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Dalam tempoh ulser masih belum pulih, anda disarankan untuk mengelakkan makanan dan minuman yang pedas, masin, berasid atau terlalu panas kerana ia boleh menambahkan lagi rasa sakit.

Walau bagaimanapun, jika ia berlarutan melebihi tiga minggu, pemeriksaan lanjut oleh doktor amat disarankan.

Sumber: Hello Doktor