berita

Pasang Khemah Kahwin Boleh Kena Denda Sehingga RM1000 Jika Halang Jalan

February 9th, 2019 | by Azizi Rahman
Kini Trending

Kebiasaannya apabila ingin mengadakan sesuatu majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, kematian dan sebagainya, khemah akan dipasang berhampiran rumah bagi menampung kehadiran tetamu yang diundang kelak.

Adakah ianya satu kesalahan apabila kita mendirikan khemah di hadapan rumah untuk sesuatu majlis sehingga menghalang lalu lintas orang ramai?

Pasang khemah satu kesalahan

Jawapannya ya, ianya satu kesalahan! Mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, di bawah Seksyen 46(1)(a), sesiapa yang membina, menegakkan, mendirikan atau menyenggara sesuatu tembok, pagar, susur, tiang atau apa-apa himpunan sesuatu benda, atau halangan lain, di mana-mana tempat awam boleh ditangkap tanpa waran oleh pihak berkuasa tempatan.

Apabila dibicarakan di mahkamah, pesalah boleh dikenakan denda RM500 pada kesalahan pertama manakala RM1000 pada kesalahan seterusnya. Jadi, lepas ini kenalah minta surat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan sebelum pasang khemah untuk sebarang majlis yang menghalang lalu lintas.

Pokok pun tak boleh tanam

Selain itu, pokok tidak boleh ditanam dalam lingkungan dua belas kaki daripada jalan melainkan mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan. Hal ini termaktub di bawah seksyen 38 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Bagi sesiapa yang tetap berdegil, mereka boleh dikenakan denda RM500 dan pokok tersebut akan ditebang.

Tetapi jika ada pokok buah-buahan dan ianya telah ditanam sebelum jalan atau lorong belakang itu dicadang bagi suatu jalan atau lorong belakang, pihak berkuasa tempatan hendaklah memberi suatu pampasan sebanyak yang patut tidak melebihi lima puluh ringgit kepada tuannya. Tanam pokok pun boleh jadi masalah, jadi kita hendaklah mematuhi peraturan yang sedia ada.

Sumber: Akta 133 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974

The following two tabs change content below.