Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menyiasat sebuah video majlis akikah yang tular di media sosial kerana dikatakan meniru adat dan protokol istiadat kerabat diraja.

Artikel Berkaitan: ‘Boleh Mencemarkan Imej PDRM’ – Polis Siasat Dakwaan Anggota Tanya Pasal Bra Di SJR

Akikah ala-ala Diraja

Memetik laporan Kosmo, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, rakaman tersebut memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning lengkap dengan tengkolok, seolah-olah meniru majlis rasmi kerabat diraja.

M. Kumar memaklumkan, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.

Tindakan itu dipercayai menyalahgunakan lambang diraja dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengikut peruntukan undang-undang, kesalahan terbabit boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum tiga tahun, manakala penggunaan tidak wajar lambang diraja boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Sebelum ini, video berkenaan tular selepas seorang pempengaruh dan ahli perniagaan menganjurkan majlis akikah anaknya dengan tema ala istiadat diraja.

Tindakan itu mengundang kecaman netizen yang menyifatkannya tidak menghormati institusi diraja selain dianggap melanggar undang-undang.

Sumber: Kosmo