Foto: Free Malaysia Today
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didapati bersalah atas pertuduhan mengabai serta menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai adik Bella sekitar dua tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Siti Bainun Didapati Bersalah Dera Bella
Siti Bainun sudah insaf
Foto: Sinar Harian
Dalam pada itu, pihak yang menjadi peguam bela kepada Siti Bainun membuat permohonan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur agar hukuman yang bakal dikenakan ke atas anak guamnya itu diringankan atas alasan telah insaf daripada kesalahannya yang lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, peguam, Mohammad Farhan Maaruf berkata demikian ketika hujahan mitigasi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, dan meminta mahkamah mengambil kira permohonannya itu memandangkan ini merupakan kesalahan kali pertama.
Saya rayu, mahkamah pertimbangkan kecederaan yang dialami oleh Bella, hanya melibatkan kedua belah tangan dan seluruh badan yang terlibat merupakan parut yang telah sembuh.
Ini menunjukkan Siti Bainun bukan insan yang kejam dan dia cuba baik mungkin untuk menjaga Bella.
Jika hukuman pemenjaraan dikenakan terhadapnya, ia akan menjejaskan kesihatannya.
Tambah Farhan lagi, hukuman penjara boleh digantikan dengan hukuman denda maksimum, sebagaimana yang terkandung dalam undang-undang.
Terdahulu, Siti Bainun didapati bersalah selepas Hakim Mahkamah Sesyen iaitu Izralizam Sanusi berpendapat bahawa pihak pembelaan gagal mengemukakan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh yang berusia 31 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Untuk info, kes melibatkan penderaan ke atas adik Bella mula tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda.
Susulan daripada itu, Siti Bainun yang merupakan orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga Bella yang berusia 13 tahun didakwa telah mengabaikan serta menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada 21 Ogos 2021 yang lalu.
Pada 25 November tahun sama, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu, di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa.
Sumber: Sinar Harian