
Pelakon Dynas Mokhtar menyifatkan kehadiran ramai bakat baharu dalam industri lakonan tempatan sebagai satu perkembangan yang positif.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Lembu Korban Dynas Mokhtar Lari Masuk Hutan
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Dynas Mokhtar Saran Beri Watak Pada Pelakon Berbakat Berbanding Rupa Paras – ‘Suruh Menangis Tapi Tak Boleh’
Ramai pelakon baharu

Ketika ditemui OhBulan!, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata pada masa ini industri lebih terbuka dengan variasi pelakon utama, sekali gus menjadikan penonton lebih teruja untuk melihat setiap karya yang dihasilkan.
Sekarang ini pelakon baru semakin ramai macam cendawan.
Hari-hari ada sahaja pelakon baharu yang muncul di tv.
Bagi saya itu bagus sebab industri kita jadi lebih hidup dan tak bosan dengan muka yang sama sahaja.
Dulu mungkin kita asyik nampak orang yang sama sahaja pegang watak utama.
Tapi sekarang sudah ada banyak pilihan dan variasi, itu yang buat penonton lebih teruja.
Dynas berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana drama Dorm 403 di Rasta Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Hormat & beradab

Dalam pada itu, aktres drama ‘Susuk’, berkata pelakon baharu hari ini dilihat lebih bersedia sebelum melangkah masuk ke industri seni kerana kebanyakan mereka telah mempersiapkan diri dengan lebih serius.
Pelakon-pelakon baru ini juga bukan datang dengan kosong.
Mereka ambil kelas lakonan, buat latihan dan betul-betul bersedia sebelum masuk industri.
Itu yang membezakan mereka sekarang.
Kalau dulu mungkin ada yang nampak seperti model tapi lakonan kurang.
Sekarang ini mereka ada pakej lengkap, dan boleh berlakon dengan baik.
Mereka ini walaupun tak ada job, tetap pergi kelas dan tetap belajar.
Mereka nak jadi lebih baik dan kita boleh nampak usaha itu.
Dalam masa sama, Dynas turut memuji sikap pelakon muda yang disifatkannya lebih beradab serta menghormati pemain industri yang lebih senior.
Alhamdulillah, pelakon muda sekarang yang saya jumpa semuanya sangat menghormati.
Mereka tahu cara untuk menghormati orang lama dalam industri.
Sebelum ini ada saja pelakon baru yang baru sahaja membintangi drama sudah sombong dan tidak menghormati yang lebih berusia.
Saya bukannya mahu sangat rasa hormat mereka, tidak.
Tetapi sekurang-kurangnya tunjukkan rasa hormat kepada pihak produksi, pengarah dan barisan artis yang sudah bekerja lebih lama.
Kebanyakan pelakon baru yang saya sudah bekerjasama semakin berani untuk bertanya dan meminta pandangan.
Kalau masa saya dahulu, saya takut untuk bercakap dengan senior.
Mereka terbuka untuk menerima pandangan demi menghidupkan sesebuah babak.








