
Seorang pemain bola sepak maut selepas disambar petir ketika sedang beraksi dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala FA Golok 2026 di Stadium Santiphap, Sungai Golok, petang Selasa.
Artikel Berkaitan: Pemain Bola Sepak Maut Dipanah Petir Ketika Beraksi Di Atas Padang
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Detik Cemas Dua Pelajar Maut Disambar Petir Ketika Berteduh Di Luar Pagar Sekolah
Pemain bola maut disambar petir
Memetil laporan Utusan, mangsa iaitu Sofwan Awae, 24, yang mewakili pasukan Yala FC, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan.
Insiden berkenaan turut menyebabkan beberapa pemain lain mengalami kecederaan, termasuk seorang rakyat Malaysia, Mohamad Alif Ezzahan Zulkifli, 22, yang bermain untuk pasukan Sam Colt.
Selain Mohamad Alif Ezzahan, beberapa pemain lain yang cedera ialah Somchai Longmihna, 25; Sakirin Tikasom, 36; Sakariya Koleh, 38; Hamirul Cheh Asa, 32; Saranant Sathavorn, 37; Mayusaran Kaso, 31; Fatel Baka, 19; Suhaimi Rohman, 28; Anas Dulyaseree dan Khairy Layeng.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Thun Sirikhunt berkata, kejadian berlaku ketika kawasan stadium dilanda hujan lebat bersama angin kencang sebelum petir menyambar padang ketika perlawanan sedang berlangsung.
Menurutnya, Sofwan rebah selepas terkena sambaran petir, manakala kira-kira 11 pemain lain turut mengalami kecederaan.
Beberapa rakan Sofwan cuba memberikan bantuan awal sebelum kakitangan perubatan kecemasan Yayasan Sheng Mu Tharn Namjai Sungai Golok tiba, namun mangsa gagal diselamatkan.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Golok untuk menerima rawatan.
Tambah Thun, Mohamad Alif Ezzahan yang mengalami kecederaan memutuskan untuk kembali ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan susulan.
Untuk info, kejohanan Bola Sepak Piala FA Golok 2026 merupakan pertandingan tempatan yang terbuka kepada penyertaan pasukan dari pelbagai wilayah di Selatan Thailand serta Malaysia.
Sumber: Utusan