
Fenomena filem Blood Brothers: Bara Naga ternyata telah memberi impak yang luar biasa terhadap barisan pelakon terutama buat Irfan Zaini sehingga terpaksa berdepan dengan peminat yang agresif.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Irfan Zaini Tak Pernah Mimpi Watak Malik Dapat Sambutan Ramai – ‘Walau Sekejap, Tapi Ramai Yang Suka’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Sharnaaz Ahmad & Shukri Yahaya ‘Dingin’ Setahun Sepanjang Shooting ‘Blood Brothers’ – ‘Terlampau Hidup Dengan Karakter Masing-Masing’
Peminat Fanatik
Ketika ditemui OhBulan!, Irfan atau nama lengkapnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini mendedahkan seorang peminat wanita cedera dipukul gara-gara mengambil gambar bersamanya semasa dia berkunjung ke Sarawak.
Sejujurnya ada peminat yang melampaui batas, malah susah nak kawal mereka kerana mereka sayang sangat kepada watak saya ini dan ianya tidak boleh dihentikan.
Ketika saya di Kuching, ada seorang peminat wanita ambil gambar bersama saya. Kemudian dia ke tandas dan dia diikuti oleh seorang individu yang bertindak memukul dan belasah dia sampai berdarah.
Bercerita lanjut, Irfan berkata, dia terkejut selepas melihat foto kiriman peminat tersebut berikutan wanita itu mengalami kecederaan.
Difahamkan peminat berkenaan juga telah membuat laporan polis berhubung insiden itu.
Peminat tersebut ambil gambar dan beritahu saya, malah dia juga tidak mengenali individu berkenaan. Individu itu turut memberi amaran kepadanya dengan mengatakan, ‘Malik saya punya’.
Saya pesan kepada peminat tersebut supaya jaga diri dan saya rasa dia pun dah buat laporan polis.
Irfan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan tayangan drama premium Astro Original, Honey Trap yang berlangsung di Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Nasihat Irfan

Menurut aktor berusia 30 tahun itu, dia tidak mampu untuk melayan semua peminatnya namun amat menghargai setiap sokongan mereka.
Saya sayang peminat sama rata, tak semestinya kalau dia ambil gambar dengan saya, dia lebih penting.
Kalau boleh saya memang nak bergambar dengan semua orang tetapi terlalu ramai. Namun apa yang saya boleh berikan adalah filem-flem dan karya saya yang seterusnya.
Justeru, Irfan menasihati mereka supaya tidak bertindak sedemikian dan sentiasa menjaga keselamatan diri.
Sejujurnya saya memang risau akan mereka, jangan menyakiti diri sendiri dan jaga batas diri.
Kalau awak semua sayang saya jangan buat macam itu sebab saya tak suka perkara ini berlaku.
Dalam perkembangan lain, Irfan bersama Nina KSC, Syarul Ezani, Ungku Ismail dan ramai lagi pelakon hebat membintangi siri drama terbaharu itu yang berkisarkan tentang aksi, dendam dan politik.
Untuk info, drama tersebut bakal ditayangkan pada 20 Jun ini.








