Angka kematian mangsa tragedi Taufan Hagibis sehingga ke hari ini dilaporkan sudah meningkat kepada 25 orang manakala lebih 100 orang cedera. Taufan yang membawa hujan lebat dan angin kencang itu menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh dan banjir kilat. Berikutan itu, seramai 600,000 penduduk di timur Jepun diarahkan berpindah demi keselamatan mereka.
Menerusi Harian Metro, rakyat Malaysia yang menetap di Jepun berkongsi pengalaman mendebarkan berdepan tragedi tersebut.
Bunyi angin kuat dan menyeramkan
Rakyat Malaysia, Nur Hafizah Khusni yang menetap di Jepun sejak 2010 menceritakan kembali pengalaman mendengar bunyi angin yang kuat di luar rumah.
Alhamdulilah rumah saya menyewa ini kukuh dan tidak terjejas, tetapi bunyi angin di luar kuat dan menyeramkan. Bagaimanapun, ada rakan lain rumah mereka bergegar.
Nur Hafizah berkata lagi, mereka disarankan untuk bersedia menghadapi sebarang ancaman akibat daripada ribu taufan ini.
Pentingnya untuk sentiasa mengikuti maklumat terkini daripada sumber dipercayai. Saya tengok berita dari Rabu hingga Jumaat supaya dapat mempersiapkan diri lebih awal. Alhamdulillah, rumah saya terletak agak jauh dari sungai dan kami selamat daripada banjir.
Apa yang dilakukannya adalah membeli stok makanan secukupnya berikutan Sabtu mereka sudah tidak boleh keluar rumah.
Buat keputusan tinggal di rumah
Menurutnya, mereka menerima amaran peringkat tiga pada 1 petang diikuti amaran keempat tiga jam kemudian. Amaran peringkat kelima pula diterima pada jam 8 malam.
Tempat saya tidak terputus bekalan elektrik dan air, cuma tadi (semalam) dapat pengumuman dari daerah supaya penduduk berjimat menggunakan air sebab bekalan dijangka berkurangan, manakala ada sesetengah tempat sudah terputus bekalan elektrik.
Alhamdulillah saya sekeluarga selamat, semalam (kelmarin) dapat amaran berpindah dari peringkat tiga ke lima, tetapi kami membuat buat keputusan untuk tinggal di rumah.
Pengarang Berita New Straits Times (NST), Intan Maizura Ahmad Kamal yang kini berada di Jepun untuk bercuti dan menyaksikan pertandingan MMA One Championship memberitahu bangunan hotel yang dihuni iaitu Shinagawa berbunyi seperti retaj.
Dari tingkap bilik, saya sempat melihat angin taufan berpusing-pusing tanpa arah, namun kebanyakan bangunan masih tidak terputus bekalan elektrik.
Kedai serbaneka menjadi tumpuan, saya dan rakan terus membeli makanan serta minuman sebagai persediaan sekiranya kehabisan makanan. Ini kerana kami dinasihatkan supaya tidak keluar dari hotel dan perlu berlindung di dalam bangunan.
Angin terlalu kuat, payung patah
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Ahmad Fikri Aziz yang berada di Samukawa, Jepun berkata pihak berkuasa setakat ini sudah menaikkan tahap amaran dari tahap tiga kepada empat.
Ketika mendapat notifikasi itu, saya bersama isteri dan anak terus mengosongkan rumah dan berteduh sementara waktu di sebuah pusat komuniti yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal kami.
Angin memang sangat kuat sehingga payung yang kami guna patah dan dibawa angin. Malah, kami terpaksa membawa kereta dengan perlahan ketika menuju di pusat itu.
Malah, ketika sekitar 7 malam, saya boleh merasakan bangunan di pusat komuniti itu bergegar diselangi dengan bunyi angin yang ‘menakutkan’ akibat daripada taufan itu.
Katanya, sekitar jam 7 malam, dia dapat merasakan bangunan di pusat komuniti bergegar diselangi dengan bunyi angin yang menakutkan. Dia yang menetap di Jepun sejak 10 tahun lalu memberitahu ini merupakan kejadian kedua berlaku selepas gempa bumi pada tahun 2011.
Sumber : Harian Metro