Baru-baru ini, seorang wanita dan keluarganya berdepan dengan situasi panik apabila mereka terpaksa bergotong-royong menyediakan hidangan kenduri gara-gara pihak katering tidak menghantar makanan pada hari yang ditetapkan.
Artikel berkaitan: [VIDEO] Katering Tak Datang, Keluarga Pengantin Terpaksa Masak Sendiri.. Rupanya Wedding Planner Tak Bayar
Susulan daripada itu, perancang perkahwinan yang memperdaya beberapa pengantin di Johor dengan pakej perkahwinan bajet, namun gagal menyediakan perkhidmatan termasuk katering pada saat akhir, ditahan oleh pihak polis, semalam.
Rugi hampir RM60k
Foto: Sekadar gambar hiasan
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, wanita berusia 50 tahun itu ditahan dan disiasat susulan 10 laporan yang diterima sehingga 8 Jun lalu. Tambah Kamarul, mangsa rugi hampir RM60,000 selepas menyedari ditipu wanita tersebut. Kebanyakan mangsa menyatakan bahawa mereka tidak menerima sebarang makanan atau menerima makanan kurang daripada ditempah mahupun sudah basi.
Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan pakej bajet atau murah ditawarkan oleh perancang perkahwinan atas nama Kekasih Hati Katering atau akaun peribadi di facebook (fb) Emir Mimi. Pakej ditawarkan serendah RM8 bagi setiap jemputan, berbanding harga biasa antara RM10 hingga RM12.
Semua transaksi bayaran dilakukan dalam talian dan semua kes berlaku antara Mei hingga awal Jun, malah kita yakin akan menerima beberapa laporan polis lagi serta menggesa mangsa untuk tampil membuat laporan. Kami menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej perkahwinan yang murah dan tidak masuk akal serta fikir dua kali sebelum membuat pembayaran.
Keluarga kena gotong-royong
Ujar Kamarul lagi, pihaknya akan memohon untuk perintah reman suspek hari ini bagi siasatan Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Jelas Kamarul, antara kes dikaitkan suspek diterima pada 5 Jun lalu apabila mangsa membayar deposit RM1,000 pada 18 Mei dan baki bayaran RM3,400 pada 27 Mei, namun menerima makanan tidak mencukupi serta basi (pada 4 Jun).
Perancang perkahwinan berjanji untuk menghantar makanan kali kedua di majlis perkahwinan itu yang diadakan di sini, namun gagal berbuat demikian.
Terdahulu, pasangan pengantin di Kulai meluahkan rasa geram dan terkilan apabila pihak katering gagal menyiapkan makanan. Lebih malang, mereka mendapat tahu hal tersebut pada hari kejadian dan seluruh ahli keluarga perlu bergotong-royong memasak di saat akhir.
Sumber: Harian Metro