Gerakan keusahawanan berimpak tinggi global, Endeavor Malaysia telah mengumumkan pelantikan Loi Tuan Ee, Pengasas dan Pengarah Urusan jenama tenusu terkemuka Malaysia The Holstein Milk Company dan jenama subsidiarinya Farm Fresh sebagai penambahan baharu dalam Lembaga Pengarah.
Pelantikan Loi Tuan Ee
Minat beliau dalam bidang pertanian telah membuatkan Loi Tuan Ee berjaya membina dan mengembangkan ladang tenusu sekaligus menjadikan Farm Fresh sebagai peneraju pasaran dalam produk tenusu semula jadi dan segar di Malaysia. Loi yang merangkap sebagai Pengarah Urusan telah mengembangkan Farm Fresh menjadi syarikat IPO bernilai RM1 bilion sehingga berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia. menandakan IPO terbesar Malaysia sejak Jun 2021.
Sementara Pengerusi Lembaga Pengarah iaitu Brahmal Vasudevan berkongsi kegembiraannya atas pelantikan Loi. Beliau turut menceritakan bagaimana permulaan Loi sebagai usahawan bersama Endeavor Malaysia.
Loi dan pasukannya di Farm Fresh telah membina empayar susu segarnya di Malaysia dan dan mempunyai pelan transformasi untuk industri tersebut. Pengalaman keusahawanannya yang luas, termasuk membawa syarikat daripada penubuhan kepada IPO dan berkembang ke pasaran CPG dan F&B akan menambah kelebihan unik kepada Endeavor.
Tambah Brahmal Vasudevan lagi, Endeavor perlu bersedia untuk menyediakan mentor yang bertaraf dunia untuk membantu usahawan membesar serta mengembangkan industri masing-masing.
Kami berasa berbesar hati untuk mempunyai lebih banyak usahawan impak tinggi seperti Loi, Eric dan Fadza yang pernah menjadi Usahawan Endeavor untuk menggandakan impak mereka dan menginspirasi yang lain untuk berkembang dalam usaha keusahawanan mereka.
‘Masih banyak untuk saya pelajari’
Loi menyertai tujuh pengarah sedia ada di Lembaga Endeavour Malaysia iaitu Brahmal Vasudevan (Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Creador), Afzal Abdul Rahim iaitu Ketua Komander TIME dotCom, Mark Chang (CEO & Pengasas Bersama JcbNext), Lim Chern Yuan (CEO Kumpulan Yinson), Fadzarudin Anuar (CEO & Pengasas Bersama Kumpulan FashionValet), Thomas G. Tsao (Pengerusi & Pengasas Rakan Kongsi Gobi Partners) dan Eric Cheng (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengasas Bersama Carsome).
Loi dipilih sebagai Usahawan Endeavour pada tahun 2016 di Panel Pemilihan Antarabangsa Endeavour ke-65 di Bali. Loi akui berbesar hati kerana menyertai Ahli Lembaga Endeavour dan sekaligus dapat membantu melaksanakan misi Endeavor.
Ketika saya membina Farm Fresh, walaupun pada usia 40 tahun, masih banyak untuk saya pelajari. Apa yang dijangkakan sebagai perjalanan yang sepi, Endeavor menukarnya dan telah membuka jaringan mentor, rakan sebaya dan rakan kongsi yang membantu Farm Fresh menjadi jenama dikenali pada hari ini.
Farm Fresh telah mengumumkan perolehan saham bernilai RM83.9 juta bagi rangkaian aiskrim premium tempatan terbesar di negara iaitu Inside Scoop dan turut melebarkan perniagaannya ke dalam industri makanan dan minuman (F&B) menerusi jenamanya, Jom Cha.
Keahlian Loi dalam keusahawanan dan kepimpinan perniagaan sangat berharga bagi Endeavor dalam menyokong dan membangunkan ekosistem keusahawanan terutama dengan situasi ekonomi yang tidak menentu.