Rentetan isu buli yang hangat diperkatakan di media sosial sejak kebelakangan ini, pelakon Keith Foo menegaskan sikap dan karakter anak-anak bermula dari rumah hasil daripada didikan ibu bapa, bukannya semata-mata tanggungjawab pihak sekolah.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Riena Diana ‘Throwback’ Lakonan Keith Foo Dalam Video Muzik – ‘Kau Propose Rossa Tapi Tak Propose Dekat Aku’

‘Bermula dari rumah’

Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 42, berkata ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak, sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Jelas aktor berusia 42 tahun itu, komunikasi antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting dalam memastikan keseimbangan perkembangan akademik serta sosial anak-anak.

Isu (buli) ini bukan berlaku di sekolah sahaja, tetapi di mana-mana. Pada pandangan saya, segalanya bermula dari rumah, tanggungjawab ibu bapa di rumah.

Pihak sekolah dan ibu bapa perlu sentiasa mengemas kini maklumat serta perkembangan anak-anak. Ibu bapa perlu tahu apa berlaku di sekolah. Selain pembelajaran, perkembangan sosial juga perlu diperhatikan.

Keith berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi drama Tonton Original berjudul Toksik Cinta di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Keith tidak menafikan kewujudan segelintir ibu bapa yang sukar menerima hakikat bahawa anak-anak mereka juga boleh melakukan kesilapan.

Perangai anak-anak sebenarnya bermula dari rumah, bukan sekolah. Ada ibu bapa yang kadang kala apabila anak mereka buat salah tetapi menafikan kesalahan anak-anak mereka.

Situasi itu juga lama-lama jadi kebiasaan untuk sesetengah ibu bapa dan anak-anak pun akan terikut lalu jadi pembuli di sekolah.

Dalam pada itu, Keith juga menasihati ibu bapa di luar sana supaya segera mengambil tindakan bijak sekiranya mendapati anak-anak semakin terjerumus ke arah gejala buli.

Namun tidak dinafikan, ada ibu bapa sudah mendidik dengan baik tetapi persekitaran di sekolah sedikit sebanyak akan mempengaruhi karakter anak-anak.

Pada akhirnya bergantung kepada anak-anak itu sendiri dan ibu bapa harus mengambil langkah yang cepat supaya tidak menjadi lebih teruk.

Selain Keith, Toksik Cinta turut dibintangi Riena Diana, Aqasha, Christina Suzanne dan ramai lagi. Drama tersebut bakal ditayangkan bermula 8 Disember depan.