Penyanyi Aisha Retno menjelaskan bahawa perkongsiannya di Threads bukan untuk meluahkan kekecewaan terhadap penerimaan lagunya, sebaliknya dia terbuka menerima pandangan dan melihat ramai pendengar menyambut baik karyanya.

Artikel Berkaitan: Aisha Retno Syukur ‘Jodoh Lebaran’ Diterima Ramai – ‘Saya Pressure Diri Sendiri Untuk Keluar Lagu Raya Baharu’

Artikel Berkaitan: Aisha Retno ‘Describe’ Bekas Teman Lelaki Secara Ringkas – ‘Dia Baik Itu Saja’

Ada yang keluarkan kata-kata kesat

Ketika ditemui OhBulan!, Aisha atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, menegaskan bahawa soal sama ada seseorang itu ingin menerima atau tidak lagunya merupakan hak masing-masing.

Namun, dia mengakui ada satu perkara yang mengganggu perasaannya, iaitu penggunaan kata-kata kesat oleh segelintir individu.

Maksud saya di platform Threads itu bukan mengenai kekecewaan terhadap penerimaan lagu di Malaysia atau Indonesia.

Saya okey sahaja dengan semua pendapat dan melihat ramai juga yang menerima lagu ini dengan baik di kedua-dua negara.

Pendengar mahu menerima atau tidak lagu ini, terpulang kepada mereka.

Saya serahkan sepenuhnya kepada pendengar.

Cuma apa yang membimbangkan saya adalah kata-kata kesat daripada segelintir individu.

Bagi saya, perkara itu tidak wajar dan kurang beradab.

Itu sahaja yang sedikit mengganggu perasaan saya.

Aisha berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Seri Syawal Usanita yang diadakan di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada Khamis.

Perbalahan kecil

Berkongsi lanjut, pelantun lagu ‘Sutera’ itu berkata timbulnya perbalahan kecil, termasuk perkara seperti penggunaan perkataan ‘Lebaran’ yang membuatkan dia berasa sedih melihat situasi itu berlaku.

Malah, sebelum ini dia pernah terpalit dengan isu berkaitan batik pada November lalu.

Ibu saya sendiri berasal dari Indonesia, ayah pula dari Malaysia.

Jadi apabila melihat perbalahan kecil sebegini, saya berasa sedih.

Perkataan ‘Lebaran’ pun boleh mencetuskan perdebatan.

Sebelum ini saya juga pernah dikaitkan dengan isu batik pada November lalu.

Seolah-olah ada pihak yang mahu saya memilih satu identiti sahaja.

Tetapi saya tetap dengan pendirian.

Saya bangga menjadi rakyat Malaysia dan dalam masa sama menghargai darah Indonesia dalam diri.

Dalam pada itu, Aisha menyifatkan platform Threads sebagai ruang yang mendekatkannya dengan peminat, sekali gus memberinya peluang untuk bersuara mengenai isu-isu tertentu.

Saya juga masih baru menggunakan Threads dan rasa lebih dekat dengan peminat dari Malaysia dan Indonesia.

Ada perkara yang saya boleh kongsikan dan perlu suarakan, termasuk isu ini.

Ramai peminat di Indonesia sangat menyokong saya.

Bukan satu sahaja lagu saya pernah tular di sana, malah beberapa karya lain juga mendapat perhatian.

Mereka sangat merendah diri, menerima dan menghormati budaya, sekali gus menunjukkan sikap sopan dan beradab.

Sementara itu, dia berharap isu berkenaan tidak terus diperbesarkan dan yakin bahawa ia akan reda dengan sendirinya.

Saya percaya masa akan meredakan keadaan.

Jika masih ada yang berkeras dengan pendapat masing-masing, biarkan sahaja.

Saya sendiri datang daripada latar Malaysia dan Indonesia, jadi pertengkaran seperti ini tidak perlu diperbesarkan.

Kita sepatutnya saling meraikan budaya dan berkongsi karya antara satu sama lain.