
Kerajaan Negeri Selangor melalui program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) meneruskan komitmen mereka dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi Skim Air Darul Ehsan atau lebih dikenali sebagai SADE.
Permohonan SADE dibuka

Program ini merupakan satu inisiatif penjajaran semula pemberian air percuma yang disasarkan khusus kepada penduduk Negeri Selangor yang berkelayakan untuk menikmati manfaat air tanpa bayaran bagi 20 meter padu pertama setiap bulan.
Beberapa kriteria kelayakan telah ditetapkan antaranya pemohon mestilah merupakan warganegara Malaysia yang menetap di Negeri Selangor. Skim ini terbuka kepada isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM6,000 dan ke bawah.
Jumlah pendapatan ini adalah termasuk pendapatan pasangan bagi yang telah berkahwin, manakala bagi individu yang tiada pasangan atau bujang, ia dikira berdasarkan pendapatan peribadi mereka.
Selain itu, syarat lain yang perlu dipenuhi adalah premis kediaman tersebut mestilah menggunakan meter individu.
Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian bagi penghuni pangsapuri kos rendah yang menggunakan akaun meter pukal. Kumpulan ini akan terus menerima manfaat 20 meter padu air percuma secara automatik sehingga 31 Disember 2029 mengikut kaedah sedia ada yang melibatkan Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).
Telah dibuka bermula 29 Disember 2025

Perlu diingatkan bahawa setiap pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun atau satu premis sahaja.
Permohonan bagi Skim Air Darul Ehsan ini telah dibuka semula secara rasmi mulai 29 Disember 2025.
Antara cara untuk memohon adalah secara dalam talian melalui portal rasmi Aplikasi KitaSelangor Sepadu (AKSES) di pautan www.akses.selangor.gov.my atau menerusi laman web rasmi Air Selangor di www.airselangor.com.
Untuk sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai status permohonan, rakyat Selangor boleh menghubungi Pusat Bantuan (Help Centre) Air Selangor atau terus menghubungi talian khidmat pelanggan di 15300.
Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor, Portal Rasmi Air Selangor, eCentral






![[VIDEO] Penghuni Syurga Boleh Bantu Penghuni Neraka? Ini Penjelasan Ustaz Adnin](https://asset.ohbulan.com/2026/08/adnin.jpg)

