Selepas sedekad menceburi dunia seni, Adriana Adnan meluahkan rasa kecewa dan terkilan terhadap realiti industri yang seakan mengetepikannya, meskipun telah memberikan komitmen penuh demi tuntutan watak.

Adriana terkilan

Menerusi hantaran di Threads, Adriana turut mempersoalkan standard industri seni yang seakan tidak menghargai komitmen dan usaha kerasnya sebagai pelakon.

Dari dulu sampai lah sekarang tetap lah orang dalam industry suruh saya kurus, kurus dan kurus. Saiz saya ni dikira gemuk tau. 

Bila dah masuk umur 30 pulak ni orang cakap saya dah tua. Jadi nampaknya, umur 30 tahun sudah dianggap tua dalam industri ini.

Sebagai seorang pelakon, Adriana berkata dia sanggup melakukan apa sahaja perubahan fizikal demi tuntutan karakter, namun usahanya itu sering disalah erti oleh segelintir pihak.

Mereka kata saya nampak tua sebab saya dah pernah bawa watak pensyarah dan watak ibu muda. Tapi bukankah seorang pelakon itu perlu meneroka pelbagai karakter? 

Perlu tukar imej untuk membawakan setiap watak tersebut? Atau saya yang salah? Kalau saya salah, tolong ajarkan.

Kalau mereka suruh saya kurus demi karakter, saya mampu kuruskan badan. Kalau mereka nak saya potong rambut, saya sanggup potong gaya bob cut daripada rambut asal yang panjangnya hingga ke paras pinggang. 

Saya akan lakukan apa sahaja demi watak selagi ia mampu dan munasabah, namun saya rasa orang ramai masih belum nampak usaha tersebut.

Masuk kelas lakonan

Disebabkan minatnya terhadap dunia lakonan, Adriana berkata dia sanggup melaburkan masan dan wang ringgit bagi mengikuti kelas lakonan di negara jiran.

Apa yang lebih mengejutkan, Adriana mendedahkan bahawa dia pernah diminta untuk mencipta kontroversi bagi menaikkan semula nama kerana imejnya yang bersih dan dianggap cukup sensasi untuk dijadikan bahan  berita.

Mereka menganggap imej saya terlalu ‘bersih’ dan tidak mempunyai nilai berita kerana industri kita lebih cenderung memilih individu yang sering tular atau mempunyai penglibatan media sosial yang tinggi. 

Bagi saya, maruah diri dan keluarga adalah lebih penting dan saya tidak akan sesekali mengorbankan perkara tersebut.

Sementara itu, Adriana turut mempersoalkan motif sebenar sesetengah pihak yang hanya gemar mencari kekurangan dirinya berbanding melihat potensi bakat yang ada.

Segala apa yang berlaku ini membuatkan saya tertanya-tanya, adakah mereka sengaja memberikan alasan rawak hanya untuk menolak saya? 

Kepada mereka yang hanya tahu mencari kekurangan saya hanya kerana tidak suka atau mempunyai pilihan lain yang lebih baik ketika ini, saya ucapkan selamat maju jaya. Mari kita tengok sejauh mana mereka mampu bertahan.

Sumber: Threads Adriana Adnan