berita

Pernah ‘Rasa’ Konvo Di Airport, Syed Saddiq Tak Setuju Sijil Graduan Protes Ditarik

October 17th, 2019 | by Arini Saleh
Isu & Kontroversi

Baru-baru ini, seorang graduan dikecam selepas membuat aksi tidak sopan ketika istiadat konvokesyen Universiti Malaya (UM) yang ke-59. Graduan bernama Wong Yan Ke mengeluarkan sekeping plakad bertulis ‘Undur VC’ dan ‘Tolak Rasis’ di pentas. Sehubungan dengan itu, petisyen untuk menarik balik sijil graduan berkenaan diwujudkan dan sehingga kini sudah mendapat lebih 80 ribu tandatangan.

Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq walaubagaimanapun tidak bersetuju dengan petisyen tersebut. Di laman Instagram, beliau berkongsi pernah disekat daripada menghadiri majlis konvokesyen kerana kelantangannya memberi pendapat.

Disekat hadir konvokesyen

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Syed Saddiq (@syedsaddiq) on

Dulu, saya pernah disekat daripada menghadiri majlis konvokesyen kerana kelantangan saya menentang rasuah & salahguna kuasa. Siapa yang tak nak hadir majlis konvokesyen sendiri setelah 4 tahun berpenat lelah menuntut ilmu? Akhirnya, “majlis konvokesyen” di Airport bersama mama & abuyah.

Dalam kita bebas bersuara, kita juga perlu belajar untuk menghormati keadaan atau situasi setempat.

Jangan disebabkan kita, saat gembira dan bermakna orang lain tercalar. Majlis Konvokesyen adalah majlis untuk kita meraikan kejayaan para pelajar dan yang lebih penting, untuk ibu bapa bangga melihat anak-anak mereka bersarung jubah dan menerima segenggam ijazah.

Bukan tempat untuk protes

Mungkin bagi kita, segulung ijazah tidak penting, tetapi bagi ibu dan bapa kita, itu sangat bermakna dan membahagiakan.

Saya tidak nafikan hak pelajar untuk bersuara tetapi saya secara peribadi percaya itu bukanlah tempat yang terbaik untuk protes kerana hari itu bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi untuk kawan-kawan dan keluarga mereka juga.

Setiap orang bebas untuk bersuara dan itulah juga yang saya perjuangkan sejak dahulu lagi. Jadi, saya faham bagaimana rasanya suara kita disekat, dikenakan tindakan hanya kerana tidak setuju dengan pentadbiran universiti mahupun negara.

Dalam meraikan pendapat semua pihak, kita harus bersedia untuk bersetuju dengan yang tidak bersetuju.

Tidak setuju tarik balik ijazah

Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan gesaan untuk menarik balik ijazah pelajar itu. Kita boleh kritik & kecam tindakan beliau tanpa merampas ijazah yang diusahakan selama lebih 4 tahun.

Ruang kebebasan harus dipandu dengan sikap bertanggungjawab. Saya menghormati hak demokrasi setiap rakyat tetapi setiap tindakan harus datang bersamanya tanggungjawab. Kita raikan demokrasi yang matang dan tanggungjawab ini harus dipikul oleh pelajar dan universiti.

Apa-apapun, tahniah saya ucapkan kepada semua siswa yang sudah berjaya merangkul segulung ijazah. Make your Malaysia proud!

Syed Saddiq berpendapat pentas graduasi bukanlah tempat untuk meluahkan rasa marah dan protes kepada pentadbiran tertinggi universiti. Majlis graduasi adalah tempat dimana ibu bapa meraikan pelajar setelah berpenat lelah selama beberapa tahun. Walaubagaimanapun, beliau tidak menolak kebebasan bersuara yang harus diamalkan semua orang.

Namun, beliau juga tidak bersetuju gesaan untuk menarik balik ijazah graduan tersebut yang telah berusaha selama lebih 4 tahun.

Sumber : Syed Saddiq