Setelah sekian lama ‘diperam’, akhirnya Perodua D55L kini dibuka untuk tempahan. Harga yang diumumkan bermula RM 62,500 hingga RM 73,400. Tempahan dibuka pada hari ini, 19 Februari 2021. Nama rasmi bagi model SUV kompak ini masih lagi belum didedahkan namun terdapat ura-ura bakal diperkenalkan sebagai Perodua Ativa.
Enjin turbo
Selepas tarikh pelancaran ditunda beberapa kali sejak tahun lalu, Perodua D55L dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada bulan Mac 2021. Terdapat 3 varian (X,H dan AV) yang akan ditawarkan dengan kit badan Gear Up sebagai pilihan tambahan. Selain itu, Perodua D55L juga telah disahkan dengan trenkuasa enjin 1.0 liter turbo dan padanan transmisi CVT.
Pilihan warna yang bakal ditawarkan adalah Glittering Silver, Granite Grey, Cobalt Blue, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red. Di samping itu, 2 warna terakhir yang disebutkan akan hadir dengan warna 2 tona bumbung hitam yang bakal menyerlahkan lagi ‘ketampanan’ kereta ini.
Perodua D55L 2021 bakal menjadi model Perodua pertama yang menggunakan transmisi CVT dan enjin turbo. Walaubagaimanapun, tiada sebarang tawaran transmisi manual ataupun spesifikasi ‘kosong’ bagi model Perodua D55L, hanya spesifikasi asas sahaja.
SUV kompak pilihan
Perodua D55L akan ditawarkan dengan Perodua ASA untuk semua varian. Malah, spesifikasi paling tinggi model ini menampilkan ciri-ciri L2 Autonomous Driving seperti Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.
Seperti biasa, Perodua menjamin tahap penggunaan minyak yang rendah pada kesemua barisan produknya. Kadar penggunaan minyak yang didakwa pengeluar adalah sebanyak 18.9 km / liter.
Antara ciri terkini yang ada pada Perodua D55L adalah Adaptive Driving Beam, skrin meter digital TFT 7-inci manakala sistem infotainment berskrin sesentuh 9-inci yang hadir dengan kawalan arahan suara.
Untuk korang yang masih ‘pening’ nak beli kereta apa, mungkin model SUV kompak ini paling sesuai diletakkan di ruang parkir rumah korang.