
ASWARA bersama Persatuan Alumni ASWARA mempersembahkan sebuah produksi teater muzikal berskala besar berjudul Paduka Cik Siti, arahan sutradara tersohor, Kamarulzaman Taib.
Paduka Cik Siti

Karya pentas ini mengangkat kisah legenda Pemerintah Tanah Melayu abad ke-17, Paduka Cik Siti Wan Kembang iaitu ratu yang sering dikaitkan dengan figura Kijang Emas.
Kisah ini bukan sekadar catatan sejarah, tetapi sarat dengan elemen kemanusiaan seperti keberanian seorang wanita, pertaruhan maruah negeri serta hati yang memilih rakyat mengatasi cintanya sendiri.
Kamarulzaman Taib atau lebih mesra disapa Che Kem menekankan bahawa teater ini menonjolkan keteguhan seorang pemimpin wanita yang berjuang dalam tekanan politik luar dan dalam negeri.
Kecekalan dan kekuatan jiwa wanita ini, sehingga sanggup mengetepikan kemahuan peribadi. Baginya rakyat dan negeri lebih utama.
Perjuangan Cik Siti Wan Kembang bukan sekadar memerintah negeri sehingga menjadikan ‘Tanah Serendah Sekebun Bunga’ terkenal dan masyhur kerana memiliki pentadbiran yang sistematik.
Bahkan baginda menempuh cabaran melawan prejudis pembesar lelaki terhadap pemimpin wanita dan mempertahankan kedaulatan negeri daripada ancaman dan serangan Siam.
Penyanyi Asmidar Ahmad diberi peranan utama sebagai Paduka Cik Siti Wan Kembang, manakala Dr Norzizi Zulkifli pula menjelma sebagai Seri Banun, bonda kepada Cik Siti.
Asmidar memiliki suara emas yang tebal tradisinya… dia adalah lulusan vokal klasik yang memiliki kelebihan pelbagai genre.
Watak Cik Wan Kembang memerlukan seorang pelakon yang anggun, matang, dewasa dan memiliki kebijaksanaan. Asmidar memiliki kualiti itu… lebih istimewa, Asmidar juga punya kemahiran bersilat.
Gabungan elemen mak yong, wayang kulit

Watak-watak lain turut menguatkan pementasan ini ialah Taqim Zaki sebagai Panglima Merah, Syukor Ibrahim Bachik, dan Sharul Mizad sebagai Raja Siam yang pasti memukau setiap kemunculan mereka di pentas.
Seni persembahan ini bakal tampil dengan kombinasi tradisi dan teknologi pentas yang lebih segar. Unsur mak yong, wayang kulit, muzik serta tari kontemporari disatukan bagi menghasilkan pengalaman visual dan emosi yang penuh tenaga.
Gabungan pelbagai elemen tradisional seperti mak yong dan wayang kulit dengan teknologi kreatif serta senireka produksi yang dominan menjanjikan satu persembahan yang menghidangkan banyak spektakular.
Dari sudut muzik, produksi ini dipimpin oleh Suflan Faidzal Arshad manakala koreografi pula digerakkan oleh Azura Abal Abbas dan Failul Adam iaitu sebuah gandingan keras dan lembut yang mencipta gerak tubuh penuh karakter Melayu.
Sebuah cerita yang mudah diikut dan difahami… menghiburkan dengan gabungan elemen cinta, sedih, komedi dan pertarungan. Lagunya mesra, mudah dan sedap didengar. Khalayak pulang dengan puas. Insya-Allah.
Teater muzikal ‘Paduka Cik Siti’ akan dibuka dengan Malam Gala pada 19 Disember, jam 8.30 malam yang akan berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.
Ia diikuti pementasan seterusnya pada 20 Disember (jam 3 petang dan 8.30 malam) serta 21 Disember (jam 3 petang).
Kategori tiket pula ialah Paduka Cik Siti: RM150 (untuk 71 kerusi), Seri Banun: RM120 (114 kerusi), Prasat Thong: RM80 (198 kerusi), Puteri Saadong: RM40 (concession-122 kerusi).
Pembelian tiket boleh dibuat melalui cloudjoi.com.







