Umum mengetahui, Dr Nur Amalina Che Bakri, antara indivdu yang sudah menerima suntikan Pfizer, vaksin Covid-19 di United Kingdom. Susulan daripada itu, rata-rata netizen telah mengajukan pelbagai soalan berhubung isu vaksin kepada Dr Nur Amalina di ruangan Instagram Story miliknya, baru-baru ini.
Artikel berkaitan: Dr Amalina Salah Seorang Anggota Pasukan Vaksin Di UK
Artikel berkaitan: ‘Tengoklah Kecil Mana Jarum Tu’ – Konon Vaksin Covid-19 Ada Cip Pengesan, Ini Penjelasan Dr Amalina
Terbaru, pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Haji Nawawi, membuat satu panggilan video bersama Dr Nur Amalina bagi mengupas lebih lanjut mengenai isu vaksin yang sedang hangat diperkatakan ini.
Temubual eksklusif!
Menerusi temubual selama sejam lebih itu, Pak Nil mengajukan pelbagai soalan kepada Dr Amalina mengenai vaksin dan pengalamanya sebagai salah seorang individu yang terawal mendapatkan vaksin Covid-19 jika dibandingkan dengan masyarakat di negara lain termasuk Malaysia.
Masyarakat Di UK tak perlu bayar sekiranya mahu mendapatkan vaksin. Ini kerana, vaksin tersebut diberikan secara percuma dan sudah termasuk dalam program vaksin di negara berkenaan. Semua individu tidak dipaksa untuk mengambil vaksin. Kalau ada ramai yang datang, mereka akan diberi peluang untuk membuat pilihan dan mendengar kaunseling terlebih dahulu. Apabila kita tawarkan vaksin kepada semua orang, kita akan bagi maklumat lengkap mengenai vaksin, kemudian pilihan di tangan mereka sama ada mahu atau tidak. Lagi satu, vaksin program ni kita perlu tahu bahawa ianya memberi perlindungan buat semua bukan diri sendiri sahaja.
Saya terlibat baca kertas kerja dan dokumen secara menyeluruh mengenai Pfizer. Saya yakin berdasarkan apa yang saya baca, vaksin tu mampu mencegah covid-19. Saya tak rasa debar semasa kena suntikan tersebut. Malah, tempat menerima vaksin tersebut bersebelahan dengan tempat kerja saya. Proses yang saya lalui pun sangat mudah. Saya hanya perlu isi borang secara online. Kemudian, mereka akan menghantar email bagi membolehkan saya untuk memilih tarikh temu janji.
Setibanya hari berkenaan, saya akan dapat kad nombor dan kami semua akan diberikan info mengenai vaksin yang bakal diterima. Walaupun saya dah tahu, saya kena dengar dan melalui proses tersebut juga. Kemudian, doktor atau jururawat akan minta maklumat peribadi kita termasuk laporan kesihatan kita sebelum ini. Sekiranya semuanya baik, barulah mereka akan memberi suntikan. Suntikan tersebut rasa macam kena gigit semut sahaja dan tak sakit. Lebih kurang 10-15 saat sahaja proses suntikan itu berlaku.
Menurut Dr Amalina, dia telah menerima suntikan Pfizer sejak sebulan yang lalu. Tambahnya, di United Kingdom, vaksin tersebut diberikan mengikut kaedah yang sistematik iaitu kumpulan demi kumpulan. Pertama, mereka akan berikan vaksin tersebut kepada golongan yang berusia 80 tahun ke atas dan mereka yang berada di care home.
Golongan tersebut perlu mendapat vaksin kemudian diikuti dengan pekerja care home, doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang bekerja di hospital. Pemberian tersebut akan diteruskan sehingga semua masyarakat di United Kingdom menerima vaksin.
Tak ada kandungan haiwan
View this post on Instagram
Dr Amalina turut berkongsi bahawa penerima vaksin perlu memberitahu kepada doktor mengenai alahan yang mereka alami sekiranya ada. Ini kerana, doktor perlu melihat terlebih dahulu ramuan yang terdapat dalam vaksin tersebut. Setiap jenis vaksin mempunyai lain-lain bahan kandungan.
Setakat ini, saya tak terlibat dalam proses pemberian vaksin itu. Kawan-kawan saya ada yang terlibat. Sebagai pesakit atau orang awam, kita boleh dapatkan maklumat dan dokumen setiap vaksin dalam email dan website. Lagi satu, vaksin ini untuk kita mencegah pandemik Covid-19.
Mengenai isu halal dan haram pula, Dr Amalina memberitahu Pak Nil bahawa vaksin Pfizer tidak mempunyai kandungan khinzir mahupun haiwan yang lain. Kesemuanya genetik sintetik material. Jelasnya lagi, dia telah memberi link kepada pengikutnya di media sosial untuk baca mengenai vaksin yang diambil olehnya itu. Semua yang ditulis itu adalah telus.
Ditanya pula soalan mengenai bila Dr Amalina bakal mendapatkan dos keduanya, dia memberitahu bahawa sepatutnya dos keduanya itu diambil selepas 21 hari dos pertama. Namun, kerajaan telah melewatkan tempoh tersebut sehingga 12 minggu dari tempoh dos yang pertama. Ini kerana, tahap keberkesanan dos pertama itu sudah tinggi. Selain itu, kerajaan di UK ingin memberi peluang kepada semua lapisan masyarakatnya untuk menerima dos pertama. Jelasnya lagi, dos kedua tersebut bakal memberikan ‘booster’ dan memberikan tenaga yang lebih lagi.
Sumber: Aznil Haji Nawawi