Demam Bola Sepak Piala Malaysia 2012 Melanda! Selepas Kelantan menewaskan Selangor dengan mendahului 3 mata. Kini, giliran Angkatan Tentera Malaysia(ATM) yang menewaskan Negeri Sembilan bertembung dengan pasukan Kelantan bagi merebut juara Piala Malaysia edisi ke-86.
Perlawanan bola sepak pada 20 Oktober bersamaan hari Sabtu yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam itu pastinya menjanjikan pertembungan sengit. Bagi kedua-dua pasukan ini, pastinya mereka ingin berjuang mati-matian untuk menjuarai Piala Malaysia 2012. Jika tersilap langkah, pasukan tersebut pasti akan gagal. Namun, penampilan kedua-dua pasukan ini usah dipandang enteng kerana mereka telah mencatatkan keputusan yang memberansangkan di peringkat kelayakan.
Walaubagaimanapun, tak meriahlah sekiranya barisan artis tidak turut serta dalam memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada pasukan Kelantan. Jadi, OHBULAN! telah menemubual para artis yang berasal daripada negeri Kelantan untuk memberikan sokongan dan semangat secara spontan bagi perlawanan bola sepak Piala Malaysia 2012.
Menerusi temubual bersama artis comel yang popular dalam satu rancangan siri televisyen “Halimah Jonggang” iaitu Sheera Iskandar, dia menyatakan hasratnya untuk melihat Kelantan menang dalam perlawanan ini dan menewaskan pasukan ATM dengan seadil-adilnya.
“Saya minat sukan. Pada waktu lapang saya, saya akan turut serta bermain bola dan menonton perlawanan bola sepak. Dulu, bekas tunang saya merupakan pemain pasukan ATM. Segala latihan yang dijalankan, saya turut serta menemani. Jadi, sukan bola tak asing lagi daripada hidup saya. Walaubagaimanapun, saya tetap menyokong Kelantan dan saya nak Kelantan menang perlawanan bola sepak ini nanti.”
“Apabila tiba hari perlawanan, saya lihat pasukan Kelantan bermain dengan sangat “relax”. Kalau boleh, saya memang nak pergi perlawanan itu, tapi tak ada teman. Mungkin saya akan mengikuti perkembangan perlawanan bola sepak itu di laman Twitter jika saya tidak menonton di rumah. Apa-apa pun, saya nak Kelantan menang!”, ujar Sheera ketika ditemubual.
Selain itu, dia turut menyampaikan pesanan kepada penyokong fanatik Kelantan agar berhibur dengan perlawanan bola sepak itu tanpa menghancurkan harta benda awam apabila menghadapi kekalahan perlawanan bola sepak.
Manakala, menerusi temubual bersama selebriti kacak Mohd Iznan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Pekin Ibrahim, 31 tahun, dia menyuarakan sokongan penuh kepada jurulatih pasukan Kelantan iaitu Bojan Hodak untuk berusaha memantapkan pasukan itu bagi menjuarai piala Malaysia 2012 tahun ini.
“Saya tak ada harapan untuk masa depan orang Kelantan, kerana orang Kelantan semuanya ada masa depan. Melalui pengalaman yang baik dalam mengawal permainan yang ditonjolkan oleh pemain Indraputra, saya ramal mungkin Kelantan mampu menewaskan ATM dengan mendahului 2 mata dihadapan.”
Selain itu, Pekin turut memberitahu jika ada waktu kelapangan, dia akan menonton pasukan kegemarannya beraksi dirumah. Apa-apa pun, dia menyatakan hasratnya supaya penyokong fanatik Kelantan yang menyaksikan perlawanan di Stadium itu tidak melakukan masalah.
“Kepada penyokong Kelantan, tonton perlawanan dengan sabar dan tenang. Setiap permainan pasti ada kalah dan menang. Walaupun kalah di medan pertempuran, masih menang di mata rakyat.”, ujar Pekin semasa ditemubual.
Selain itu, hasil temubual bersama selebriti jelita Neelofa yang kini hangat dikaitkan dengan pelakon kacak, Hans Isaac, dia memberikan sokongan padu kepada pasukan Kelantan untuk meraih gelaran juara dalam perlawanan bola sepak edisi ke-86 ini.
“Saya rasa kelantan menang. Kalau imbas kembali corak permainan pasukan Kelantan dahulu, tak mustahil Kelantan mampu menjuarai piala Malaysia 2012 ini”
Neelofa yang juga merupakan sahabat kepada kekasih penjaga gol popular Khairul Fahmi Che Mat iaitu Luniey menyokong pasukan Kelantan sepenuhnya dan meramalkan pasukan Kelantan mampu meraih kemenangan dengan mendahului 2 mata.
Bercerita mengenai ragam penyokong-penyokong Kelantan, Neelofa memberitahu bahawa orang Kelantan amat agung-agungkan sukan bola sepak ini dimana ianya juga merupakan hiburan utama orang Kelantan. Namun, Neelofa tak menyokong sesetengah orang Kelantan yang bertindak tanpa berfikir.
“Adat pertandingan, ada menang dan kalah. Jika tahun ini rezeki tak berpihak kepada pasukan Kelantan, mungkin tahun depan. Jadi, bagi penyokong fanatik Kelantan, mereka haruslah bertindak secara rasional dimana belajar menerima kekalahan dengan bermaruah.”, ujar Neelofa ketika ditemubual.
Apa-apa pun, nantikan perlawanan bola sepak Kelantan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober ini!